HARI KETUJUH BELAS
Pada malam ketujuh belas itu, aku mengalami mimpi yang sama, namun kali ini lebih jelas, seolah-olah bayangannya semakin nyata, mengingatkanku pada sesuatu yang hampir terlupakan.
Pagi datang, dan bunyi jam loceng membangunkanku. Aku tersentak, mendapati tubuhku basah dengan peluh. Dengan cepat, aku bangun dari katil dan mengemas tempat tidurku. Sinar matahari pagi menyelinap masuk melalui tingkap, memberikan kehangatan yang seakan menyapa. Aku menghela nafas, menyedari betapa cepatnya masa berlalu sejak aku sampai di sini.
Sebelum menuju ke kelas, aku singgah di perpustakaan. Setibanya di sana, aku melihat Anis dan Shafikah sedang menyusun buku di rak. Aku mengetuk pintu perlahan.
"Hi, boleh saya masuk?" tanyaku.
"Masuklah," jawab Shafikah dengan senyuman ramah.
Aku melangkah masuk dan memilih tempat duduk yang agak tersembunyi, tetapi masih cukup untuk memerhatikan mereka berdua. Aku melihat Shafikah sibuk menyusun buku sambil Anis menumpukan perhatian pada rak di sebelahnya. Setelah beberapa saat, Shafikah menoleh padaku.
“Hah, ada apa kau datang ke sini?” tanyanya, nada suaranya ingin tahu.
“Tak ada apa-apa,” jawabku sambil tersenyum. “Aku cuma nak lihat-lihat perpustakaan ni sebelum kelas bermula. Lagipun, masih awal lagi.”
Aku perasan Anis sekilas menjeling ke arahku sebelum kembali menyusun buku. Setelah beberapa buku lagi disusun, Shafikah berdiri di depanku, meregangkan badan dengan lega.
“Hais, leganya! Akhirnya selesai juga kerja aku,” katanya sambil duduk di hadapanku. Ketika Anis melangkah ke rak sebelah, aku mula berbisik kepada Shafikah.
“Hey Shafikah, adakah Anis tahu aku sebenarnya Amani?” tanyaku, sedikit bimbang.
Shafikah tersenyum kecil, pandangannya lembut. “Tak, dia belum tahu. Tapi lambat laun, dia pasti akan tahu juga.”
Aku mengangguk perlahan, berasa lega tapi tetap sedikit risau. Kemudian, aku bertanya lagi, “Sebenarnya, Anis ni kelab apa?”
Shafikah menggeleng. “Anis tak ada dalam daftar kelab. Maknanya dia memang tak memiliki kelab sekarang.”
Aku menatap Shafikah dengan penuh minat. “Tapi kau tahu tak, dulu dia pernah sertai kelab misteri?”
Shafikah mengangguk, sedikit senyum terukir di wajahnya. “Ya, sebab itulah aku tahu tentang BlackAlpha. Kau dah baca buku yang kau cari?”
Aku mengangkat bahu. “Ya, tapi buku tu taklah penting sangat pun.”
Shafikah tersenyum, memandang ke arah Anis yang masih sibuk dengan rak buku. “Apa pun, aku gembira melihat Anis senyum semula,” katanya lembut.
Aku ikut memandang Anis, melihat sekilas ketenangan yang mulai kembali di wajahnya. Dalam keheningan perpustakaan, aku rasa seolah-olah ada misteri yang sedang terungkap sedikit demi sedikit, membawa aku semakin dekat pada rahsia di sebalik kisah Anis.
Aku meminta diri untuk ke kelas, namun di perjalanan, aku tergerak hati untuk singgah di Kelab Misteri. Di pintu depannya, terdapat papan tanda usang bertulis: "Kelab ini dibubarkan, dah tak ada apa yang berlaku."
Aku membuka pintu perlahan, mendapati ruang di dalam kelab itu sunyi dan kosong. Hanya habuk dan sawang labah-labah yang menghiasi setiap sudut. Aku melangkah masuk, kenangan hari pertama aku bergabung dengan kelab ini melintas di fikiran. Saat-saat itu sungguh bermakna.
Tiba-tiba, aku terdengar bunyi dari arah sudut bilik. Aku segera berpaling, dan, mengejutkan, seorang pelajar muncul dari timbunan kotak dan sampah di sudut tersebut. Rupa-rupanya, itu Isabella. Aku terkejut, namun segera bertanya kenapa dia berada di situ.
“Oh, kau Hazrul.” Dia tersenyum tipis sebelum melangkah mendekatiku.
“Apa yang awak buat di sini?” tanyaku, kehairanan.
Isabella menjawab sambil tersenyum kecil. “Saya mencari tempat sunyi untuk bertapa.”
“Bertapa?” Aku kehairanan.
“Ya,” balasnya, matanya bersinar-sinar. “Saya mencari kesunyian untuk melakukan beberapa mentera sihir.”
Baru aku teringat bahawa Isabella mempunyai bakat dalam perkara-perkara ghaib. Tertarik, aku bertanya, “Adakah awak mampu menjauhkan penglihatan makhluk halus dari seseorang?”
Isabella mengangguk. “Ya, itu mudah aja bagi saya.”
Aku mengambil kesempatan itu untuk menceritakan masalah yang dihadapi oleh Anis, yang kelihatannya memerlukan bantuan Isabella. Setelah mendengar ceritaku, dia memandangku dengan serius dan berkata, “Bawa Anis ke sini waktu rehat nanti. Biar aku bantu dia.”
Aku mengangguk setuju, bersyukur atas bantuannya. Sebelum aku melangkah keluar, aku teringat akan mimpi-mimpi aneh yang kerap menghantuiku akhir-akhir ini. Dengan penuh harapan, aku bertanya pada Isabella sama ada dia tahu maksud di sebalik mimpi-mimpi tersebut.
Dia terdiam sejenak, merenung jauh seakan mencari jawapan. “Mimpi boleh jadi petanda, atau cuma mainan tidur, Hazrul. Aku tak pasti apa makna mimpi kau, tapi berhati-hatilah. Kadangkala mimpi membawa kita kepada sesuatu yang belum kita fahami.”
Kata-kata Isabella terus terngiang di benakku saat aku meninggalkan ruang kelab yang penuh misteri itu, bersiap sedia untuk berhadapan dengan hari ini di Akademi Putra.
Setelah itu, kami berjalan menuju ke kelas bersama. Ketika sampai di depan pintu kelas, kami terdengar bunyi bising yang luar biasa, seperti ia datang dari dalam kelas kami. Aku membuka pintu perlahan dan melihat sekeliling kelas, namun keadaan di dalam kelas mengejutkan. Kesemua kerusi di kelas telah hilang, dan yang ada hanya satu susunan besar kerusi yang membentuk sebuah Istana. Aku menoleh ke belakang kelas dan ternampak Haikal sedang berdiri di situ, tersenyum bangga dengan hasil kerjanya.
“Weh, Haikal! Apa yang kau buat hah?” Lili bersuara, jelas kelihatan marah.
Haikal yang masih bersemangat mengambil gambar dengan telefon bimbitnya dan menjawab dengan penuh keyakinan, “Ini seni. Tengoklah ni.”
Lili menggelengkan kepala, “Yelah tu.”
Kami berdua hanya menggelengkan kepala melihat gelagat Haikal. Tanpa membuang masa, kami pun melangkah masuk ke dalam kelas. Tetapi tiba-tiba Haikal meluru ke arahku. “Hazrul, pinjam telefon kau kejap.”
Aku terkejut dan bertanya, “Kenapa?”
“Adalah…” Haikal mengelak, sambil terus memandangku dengan mata penuh harapan.
Walaupun aku agak bingung, aku terpaksa memberikan telefonku. Aku tidak mahu menyusahkan, lagipun Haikal memang jarang meminta begitu.
Tidak lama kemudian, Amiliya tiba di kelas. Dia kelihatan lebih segar dan sihat, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Ramai rakan sekelas bertanya kepadanya mengapa dia tidak hadir ke kelas semalam. Amiliya hanya tersenyum lemah dan menjawab dengan tenang, “Oh, saya cuma demam biasa. Tak ada apa-apa yang serius.”
Semua orang kelihatan percaya dengan penjelasannya, tetapi aku tahu hanya aku dan Kai yang tahu tentang kejadian sebenar. Kai pula tidak datang ke sekolah hari ini, mungkin ada urusan lain. Aku memerhatikan Amiliya dengan hati-hati, tetapi dia seolah-olah tidak mahu sesiapa tahu lebih lanjut. Aku berharap dia baik-baik saja, kerana kami semua terlibat dalam perkara yang jauh lebih besar daripada yang dapat dilihat oleh orang lain.
Semasa waktu rehat tiba, aku segera mencari Anis. Setelah puas mencari, akhirnya aku menemui dia di sudut koridor. Tanpa banyak bicara, aku memegang tangannya dan membawanya pergi ke kelab Misteri. Anis kelihatan pelik dan bertanya, “Kenapa ni, Hazrul?”
Aku hanya menjawab, “Tak ada apa-apa. Ikut aja.”
Apabila kami sampai di pintu kelab, Anis tiba-tiba berhenti. “Saya ingat tempat ni,” katanya, matanya kelihatan seperti mengenali kelab tersebut.
Stolen content warning: this tale belongs on Royal Road. Report any occurrences elsewhere.
Kami masuk ke dalam, dan Anis mula memandang sekeliling dengan teliti. Dia menyebutkan satu persatu tempat dan peralatan yang ada dalam bilik itu, seolah-olah dia pernah datang ke sini sebelum ini. Aku hanya mendengar, sedikit pelik dengan perasaannya.
Tak lama kemudian, Isabella muncul dari belakang rak buku. Dia muncul dalam pakaian putih, seolah-olah seperti seorang hantu. Anis terkejut melihatnya dan secara spontan memegang tanganku.
“Apa yang berlaku ni?” tanya Anis dengan nada cemas.
Aku cuba menenangkan Anis, “Saya cuma cuba menghilangkan penglihatan mata yang awak alami tu.”
Namun, Anis melepaskan tanganku dan berkata dengan tenang, “Tak apa, Hazrul, Isabella. Saya boleh mengawal penglihatan mata ini. Tak perlu susah-susah.”
Isabella, yang mendengar perbualan kami, hanya mengangguk dan berkata, “Baiklah, kalau macam tu, tak ada apa-apa yang perlu saya buat.” Kemudian, Isabella kembali ke tempatnya dan membiarkan kami berdua keluar dari kelab Misteri.
Di luar, Anis bertanya, “Sebenarnya kenapa awak cuba menghilangkan penglihatan mata yang saya miliki?”
Aku memandangnya dengan serius, “Kerana saya risau kalau awak jadi trauma semula. Jika awak diserang lagi, saya mahu bersedia.”
Anis tersenyum dan menjawab dengan tenang, “Hazrul, awak tak payah risaukan saya. Saya bukan manusia yang lemah. Saya dah bagitahu awak yang saya mempunyai dua kelebihan. Jadi jangan risaukan saya lagi.”
Dia mengukir senyuman, dan sekejap sahaja, dia sudah berjalan pergi menuju ke kelasnya. Aku hanya berdiri seketika, merenung ke belakang sebelum loceng berbunyi menandakan waktu kelas akan bermula.
Selepas tamat waktu pembelajaran, aku berjalan pulang ke asrama dengan langkah yang santai. Ketika aku melalui jalan menuju asrama, seseorang menegurku dari belakang.
"Hey, Hazrul!" Aku berpaling dan nampak Max sedang berlari mendekatiku.
"Ada apa?" tanyaku.
"Hari ini aku nak keluar ke bandar. Jadi, aku mahu mengajar kau satu benda," jawab Max sambil tersenyum lebar.
"Bukan ke kita tak dibenarkan keluar kecuali waktu cuti?" balasku.
"Ya, memang macam tu. Tapi aku ada satu cara yang membolehkan kita keluar," jelas Max dengan senyuman nakal.
Aku agak terkejut dengan kata-katanya, tapi memutuskan untuk ikut sahaja. Kami berdua menuju ke pintu pagar sekolah. Perjalanan kami melalui kawasan sekitar begitu indah, dengan suasana yang terasa lebih tenang berbanding hari pertama kali aku masuk ke Akademi Putra.
Setibanya di pintu pagar, seorang pengawal keselamatan mendekati kami.
"Apa tujuan kamu berdua datang ke sini?" tanya pengawal itu dengan suara garang.
Max berjalan mendekati pengawal tersebut, dan berkata dengan santai, "Hi, kenal aku lagi tak?"
Pengawal itu terkejut dan jawab, "Oh, awak Max, ya. Lama tak jumpa."
Mereka seolah-olah sudah kenal lama, bercakap-cakap tentang perkara yang aku tak tahu. Kemudian Max bertanya, "Boleh kami keluar dari sekolah ni?"
Pengawal itu menjawab dengan tegas, "Tak boleh."
Namun, Max kemudian mengeluarkan sejumlah wang dari poketnya dan mengayunkannya sedikit di depan pengawal itu. "Boleh kan?" Max berkata sambil tersenyum sinis.
Pengawal itu kelihatan teragak-agak, tetapi setelah beberapa saat, dia akhirnya mengambil wang itu. "Tengok ni, banyak duit ni," kata Max sambil membelek-belek wang yang diberikan Max.
"Ya ya, baiklah. Kamu berdua boleh pergi," kata pengawal itu akhirnya, sambil menerima wang tersebut.
Max tersenyum puas. "Terima kasih," katanya, dan kami berdua mula berjalan keluar dari pagar sekolah.
Sebelum kami benar-benar meninggalkan kawasan sekolah, pengawal itu sempat memberi pesan, "Hati-hati kalau kamu tak pulang dengan selamat. Aku yang akan bertanggungjawab."
Max hanya tersenyum dan membalas, "Tak ada apa, kami akan pulang." Dia berjalan mengundur sambil memberi isyarat tangan, dan kami akhirnya meninggalkan sekolah untuk keluar ke bandar.
Di bandar, aku akhirnya bertanya kepada Max tentang kenapa dia mengajakku keluar.
"Kenapa kau ajak aku?" tanyaku, masih terkejut.
Max melihat ke arah sebuah kedai komputer yang terletak di seberang jalan. "Haa, itu kedainya," katanya sambil menunjuk.
Aku memandang papan tanda kedai yang tertera ‘Kedai Komputer Terkemuka’. Aku mengalihkan pandanganku kepada Max, "Tentu kau kesini untuk beli komputer dan hadiahkan pada Kai, kan?"
Max hanya tersenyum sambil melangkah masuk ke kedai. "Yup, memang pun."
Kami masuk ke dalam kedai yang dipenuhi dengan komputer canggih dan mahal. Aku tercengang melihat teknologi yang ada. Sesekali, aku bertanya pada Max tentang bagaimana dia memperoleh wang yang banyak ini.
"Oh, duit ni sebenarnya elaun dari kerajaan. Kami pernah menyelamatkan negara dari ancaman kemusnahan. Jadi, kerajaan bagi ganjaran dalam bentuk kad ni," jelas Max sambil menunjukkan kad yang dimilikinya. "Dalam kad ni ada wang yang banyak."
Aku terkejut mendengarnya. "Oh, jadi sebab tu ya?"
"Yup," jawab Max, mengangguk.
Sambil melihat-lihat barang di kedai, aku bertanya lagi. "Hey Max, tugas apa yang kau buat sampai kerajaan beri ganjaran banyak macam ni?"
Max kelihatan sedikit teragak-agak, tetapi kemudian dia menjawab. "Tugas tu rahsia. Kami dah lama lupakan apa yang berlaku masa tu dan gambaran peristiwa tu."
Aku bertanya lagi, "Boleh tak kau perkenalkan aku dengan kawan-kawan kau?"
Max tersenyum lebar. "Ya, sudah tentu. Semakin ramai orang, semakin mudah untuk melawan mereka."
Aku terfikir sebentar, lalu bertanya, "Max, kalau hari terasing tu tiba, apa yang kita perlu buat?"
"Kita kena kumpulkan barang-barang penting sebelum hari tu tiba dan pastikan komputer ni kuat. Khas untuk Kai," jawab Max dengan tegas.
Aku terdiam seketika, memikirkan kata-kata Max. "Macam mana kau kenal Kai?"
"Justin dan Natsumi yang perkenalkan dia pada aku," jawab Max sambil melirik ke arah komputer yang sedang dipilihnya.
"Ooo..." balasku, menyedari bahawa perkenalan mereka cukup kuat dan saling berkait.
"Baiklah, sudah selesai beli barang, mari kita pulang," kata Max sambil memandangku.
"Tapi, Max, kenapa aku yang kena pegang semua ni?" aku bertanya, keletihan membawa barang-barang yang dibeli.
Max tersenyum lebar, "Kalau aku pegang, susah nanti untuk aku bertarung. Jadi, kau yang kena pegang dulu."
Aku hanya mengangguk, walaupun dalam hati sedikit kecewa. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah kafe yang kelihatan sibuk. Udara di dalamnya berbau harum dengan pelbagai jenis makanan dan minuman. Kami memilih meja di sudut, dan tidak lama selepas itu, pesanan makanan kami tiba. Aku mula makan dengan gelojoh, lapar setelah seharian berjalan.
Max memandangku dengan tatapan yang aneh. Aku berhenti makan seketika dan memandangnya.
"Ada apa, Max?" tanyaku.
"Tak, tak ada apa-apa," jawabnya cepat, namun aku dapat merasakan ada sesuatu yang dia cuba sembunyikan.
Setelah beberapa saat, Max bertanya lagi, "Hazrul, kalau aku ajar kau cara bertarung, kau berminat tak?"
Aku terkejut mendengar pertanyaan itu. "Untuk apa?" balasku, bingung.
Max menghembuskan nafas dan memandangku dengan serius. "Aku lihat kau ni macam penakut je. Jadi sebelum hari terasing tu tiba, aku nak ajar kau cara bertarung. Supaya kau dapat melindungi diri sendiri dan orang lain."
Aku terdiam seketika, merenungnya. Aku baru saja selesai mengunyah makanan dan menjawab, "Baiklah, bila kita mula?"
Max tersenyum, "Cuti hujung minggu, kita mula. Kau bersedia?"
Aku mengangguk perlahan, merasakan ada sesuatu yang penting sedang menanti di hadapan, dan aku tidak mahu terlepas peluang untuk belajar sesuatu yang baru.
Tak lama selepas itu, suasana di kafe yang tenang bertukar kecoh apabila pintu kafe tiba-tiba terbuka dengan keras. Seorang lelaki yang memakai topi ski hitam dan berwajah serius melangkah masuk. Di belakangnya, beberapa perompak lain turut muncul, memegang senjata dengan wajah menakutkan.
"Serahkan pada kami semua wang yang kamu ada!" teriak lelaki itu dengan suara garang, membuatkan semua pelanggan dalam kafe terdiam kaku.
Aku segera menoleh kepada Max yang duduk di sebelahku, wajahnya kelihatan tenang. Tanpa berkata apa-apa, Max memandangku dan tersenyum sedikit. "Lihat kemahiran yang aku ada," katanya, sebelum dengan pantas mengeluarkan pedangnya dari sarungnya yang tersembunyi di bawah jaket.
Aku terkejut. "Pedang?" aku hanya mampu berbisik, namun dalam sekelip mata, Max sudah melangkah ke hadapan, menghadap para perompak dengan penuh keyakinan.
Dengan kelajuan yang luar biasa, Max menghayunkan pedangnya, bergerak begitu pantas dan tepat. Satu demi satu perompak yang cuba menyerang jatuh terpelanting ke lantai. Aku hanya mampu menyaksikan dengan takjub, bagaimana Max mengalahkan mereka dengan gerakan yang begitu cekap dan berseni. Tiada seorang pun yang dapat menahan kemahiran bertarungnya.
Dalam beberapa minit sahaja, kesemua perompak telah terbaring di atas lantai, tidak berdaya. Max memasukkan pedangnya kembali ke dalam sarung dengan tenang, seolah-olah apa yang baru sahaja berlaku adalah perkara biasa.
Dia berjalan kembali ke meja kami dan duduk. "Tengok, kan aku dah kata susah bagi ku untuk berlawan jika aku memegang barang," kata Max sambil tersenyum kepadaku.
Aku terdiam seketika, kemudian tidak dapat menahan perasaan kagum. "Kau! Memang hebatlah!" kataku penuh semangat, jantungku masih berdegup kencang akibat kejadian tadi.
Max hanya tersenyum, mengangkat bahu. "Perkara kecil aja," jawabnya ringkas, seolah-olah dia tidak melakukan apa-apa yang luar biasa. Tetapi aku tahu, apa yang baru saja dia lakukan bukanlah perkara kecil.
Apabila kami tiba di pintu pagar, pengawai keselamatan itu kelihatan seperti sudah menunggu kami.
"Ohh, sampai juga kamu berdua," katanya sambil memandang kami dengan senyuman.
Max yang berada di sebelahku segera bertanya, "Kau takkan bagitau Pengetua, kan?"
Pengawai itu menggelengkan kepala dan menjawab dengan tegas, "Tak," sambil membuka pintu pagar untuk kami keluar.
Setibanya kami di dalam, mataku tertumpu pada kamera keselamatan yang terletak di beberapa penjuru. Aku berhenti seketika dan memandang Max. "Max, suruh pengawai tu balikkan rakaman pada masa Max kejar penjubah itu," kataku, merancang untuk melihat apa yang berlaku.
Pengawai itu mengangguk dan mula memutarkan rakaman dari kamera keselamatan. Kami melihat dengan teliti, tetapi seolah-olah rakaman itu berjalan lancar, tanpa ada gangguan. Kawasan bumbung kosong terlihat jelas di skrin. Aku memberi arahan lagi, "Cuba undur sedikit, waktu Atirah berjalan ke Blok 7."
Tetapi, sepertimana yang kami jangkakan, rakaman tetap berjalan tanpa gangguan dan tidak ada seorang pun yang muncul di skrin. Kami bertukar pandangan, dan Max akhirnya berkata, "Nampaknya semua rakaman telah diubah. Itu sebabnya pihak sekolah tak tahu apa-apa tentang apa yang berlaku."
Aku mengangguk perlahan, tetapi perasaan bimbang tetap menghantui. "Patut ke kita bagitau pihak sekolah tentang hari terasing?" tanyaku, masih teragak-agak.
Max memandang aku dengan serius. "Tidak. Kalau mereka tahu, mesti akan ada masalah lain yang timbul. Sebaiknya, biarkan saja. Tak perlu kita libatkan mereka." Aku mengangguk, menerima penjelasannya. Kami terus berjalan menuju ke laman sekolah. Suasana di luar begitu tenang, namun hati kami berdebar-debar, tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
Malam itu, ketika aku sedang bersiap untuk tidur, pintu bilikku tiba-tiba terbuka. Aku segera mendekati pintu dan mendengar suara dari luar.
"Ini aku, Alif."
Aku membuka pintu dan ternyata Alif berdiri di hadapanku. "Ada apa sebenarnya kau datang berjumpa aku?" tanyaku, agak terkejut.
Alif memandangku dengan serius. "Sebenarnya kelab Muzik memerlukan dua orang ahli baru. Jadi, memandangkan kelab kau telah dibubarkan...," katanya sambil memerhatikan reaksiku.
Aku terdiam sebentar, kemudian berkata, "Baiklah, aku akan sertai kelab kau."
Alif tersenyum lebar dan kelihatan gembira. "Baguslah!" katanya dengan penuh semangat. "Aku yakin kau akan memberi banyak sumbangan kepada kelab ini."
Aku hanya tersenyum kecil, tetapi dalam hati aku sudah memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.