Novels2Search

Chapter 10 Merawat Anis

HARI KESEPULUH

Setibanya di kelas, aku dapat merasakan pandangan tajam rakan sekelas yang seolah-olah tidak mempercayai aku selepas kejadian semalam. Wajah mereka nampak mencurigakan, mungkin mereka masih tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku. Aku cuba mengabaikan semua itu, tetapi di dalam hati, aku tahu aku tidak boleh lari dari kebenaran yang perlu aku hadapi.

Selepas waktu pembelajaran berakhir, aku berjalan menuju ke bilik kecemasan untuk menenangkan fikiran. Tiba-tiba, aku terserempak dengan Kai yang sedang berdiri di luar bilik itu. Dia memandang aku dengan wajah penuh persoalan.

"Eh, kenapa kau macam pelik semalam? Dan kenapa kau suruh aku baiki cip tu?" tanya Kai dengan nada yang agak serius.

Aku berhenti sejenak. Dalam kepala aku, berputar-perutar segala kemungkinan untuk mengelak, tapi aku tahu aku tidak boleh terus berbohong kepadanya. Aku menarik nafas panjang dan memandang Kai dengan pandangan yang penuh kepercayaan.

"Kai," aku berkata perlahan, "kalau aku cerita ni, kau kena janji jangan cerita pada siapa-siapa, okay?"

Kai mengangguk cepat. "Baik, apa dia?" jawabnya, seperti tidak sabar.

Aku memandang sekeliling untuk memastikan tiada orang lain yang mendengar, kemudian aku mula bercerita. "Sebenarnya, akademi ni sedang dalam bahaya. Aku dah temui banyak rahsia yang tersembunyi. Cip yang kau baiki semalam, dan laman web yang aku suruh kau buka, itu semua hanya sebahagian kecil daripada apa yang sedang berlaku."

Kai semakin tertarik. "Macam mana maksud kau? Apa yang sebenarnya berlaku?"

Aku mengerutkan dahi. "Sekolah ni... sekolah kita, sebenarnya menyimpan ubat berbahaya. Jika ubat tu jatuh ke tangan yang salah, aku takut sekolah ni akan hancur, Kai."

Aku dapat lihat reaksi wajah Kai berubah. Dia terkejut, tetapi dia cuba menenangkan dirinya. "Aku faham sekarang. Jadi, apa yang kita perlu buat?"

Aku mengangkat bahu sedikit, merasa agak lega kerana akhirnya aku dapat berkongsi beban ini dengan seseorang. "Aku tak tahu lagi, Kai. Tapi kita kena cari cara untuk berhati-hati. Aku tak boleh buat semua ni seorang diri."

Kai mengangguk tegas, "Aku akan bantu kau. Apa-apa pun, kita hadapi ni bersama-sama."

Aku tersenyum sedikit. Kata-kata Kai memberi aku sedikit harapan. "Terima kasih, Kai. Aku sangat menghargainya."

"Dah tentu," balas Kai dengan senyuman. "Kita kan kawan."

Dan dalam hati aku, aku berasa sedikit lega. Mungkin, hanya dengan bantuan Kai dan kawan-kawan, aku dapat menghadapi segala rahsia gelap yang sedang mengancam kami di sekolah ini.

Setibanya aku di bilik kecemasan, aku melihat Anis sedang terjaga dari tidur. Di sisinya, Azmi duduk menemani, seakan memberi sokongan. Aku mengetuk pintu dan melangkah masuk, memastikan suasana sekitar tenang. Mata Anis langsung memandangku, seolah-olah dia masih mengenali aku, namun ada sesuatu yang berbeza pada raut wajahnya. Aku mengambil nafas, bersedia untuk bertanya.

"Kenapa awak melarikan diri dari saya?" soalku, cuba menahan perasaan yang bercampur-campur.

Anis menundukkan wajahnya sejenak, seolah-olah ada rasa penyesalan. "Maaf," katanya perlahan. "Saya terpaksa tinggalkan awak tempoh hari."

Unauthorized usage: this narrative is on Amazon without the author's consent. Report any sightings.

Aku meneliti wajahnya, mencari jawapan yang lebih mendalam. "Kenapa awak pergi ke hutan waktu itu?" tanyaku lagi, ingin tahu lebih lanjut.

Anis memandang ke arahku, matanya kosong seolah-olah berusaha mengingati sesuatu. "Waktu itu... saya cuba bertemu dengan seseorang. Tapi entah macam mana, seseorang yang memakai jubah menyerang saya. Itu sahaja yang saya ingat," jawabnya, suaranya tersekat-sekat.

Aku cuba mengingati setiap perkataan yang diucapkan Anis, dan terus bertanya, "Kenapa awak memberi amaran kepada saya? Tentang kemana saya melangkah, saya sentiasa diperhatikan. Apa maksudnya?"

Anis menggigit bibir bawahnya, kelihatan bingung. "Saya... saya masih tidak mengingati hal itu," jawabnya dengan nada bimbang.

Tiba-tiba, pintu bilik kecemasan terbuka perlahan, dan Justin muncul dengan langkah tegap. "NPV," katanya dengan nada serius.

Anis terkejut, tubuhnya kaku seakan-akan dia baru disambar kilat. Tiba-tiba wajahnya berubah, seakan sesuatu terlintas dalam fikirannya. Dia seakan mengingati sesuatu yang gelap dan menakutkan.

"Saya... saya pernah dijadikan bahan uji kaji," Anis berbisik, suaranya dipenuhi ketakutan.

Aku terkejut mendengar pengakuan itu, tetapi sebelum aku sempat bertindak, Anis tiba-tiba melarikan diri. Tanpa berfikir panjang, Justin segera mengejar, meraih pergelangan tangan Anis.

"Apa yang membuatkan kau trauma seperti ini? Cuba kau bagitau aku," tanya Justin dengan nada tegas, suaranya bergetar dengan urgensi.

Anis cuba melepaskan dirinya, dan dalam beberapa detik, pergelangan tangannya berjaya dilepaskan. Dia berlari dengan pantas, berlari jauh dari kami.

"Kita harus kejar dia!" jerit Azmi, dan kami bertiga berlari mengejarnya.

Ketika pintu bilik kecemasan terbuka, kami mendapati Anis sudah tiada. Dia hilang begitu sahaja, tanpa jejak.

Langit dilihat semakin gelap, seperti hendak hujan. Hujan yang mungkin melambatkan pencarian kami. Kami harus mencarinya secepat mungkin. Anis tidak boleh dibiarkan berseorangan dalam keadaan seperti ini. Aku hanya berharap kami sempat menemui dia sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Kami berlari mengelilingi bangunan, mencari Anis di setiap sudut yang mungkin dia sembunyikan diri. Hati aku berdebar-debar, tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Tiba-tiba, aku terlihat kelibat Anis yang sedang duduk di tepi kolam, wajahnya tertunduk, air matanya mengalir tanpa henti. Aku menghampirinya perlahan-lahan, cuba tidak mengejutkan dia.

"Kenapa awak melarikan diri?" aku bertanya, suaraku rendah, berusaha menahan rasa risau.

Anis hanya mendongak sedikit, matanya merah dan penuh kesedihan. "Awak tak akan faham apa yang saya telah lalui," jawabnya dengan suara yang hampir tidak kedengaran, sebelum dia kembali menangis, teresak-esak.

Aku duduk di sebelahnya, cuba memberikan ruang untuk dia meluahkan perasaannya. "Saya tahu. Saya telah tahu segalanya. Selepas awak melarikan diri, saya cuba mencari punca awak jadi begini. Satu persatu misteri akhirnya saya telah tahu semua yang terjadi," kataku, penuh keyakinan.

Anis menggelengkan kepala perlahan, seperti tidak mahu menerima kenyataan. "Awak masih tidak faham," jawabnya, suaranya penuh kesakitan. "Selagi NPV masih ada, selagi itu mereka akan memburu saya."

Aku hendak berkata sesuatu lagi, tetapi tiba-tiba, suara Justin muncul dari belakang kami. "Kau tidak payah mendiamkan diri," katanya dengan nada yang tegas.

Anis terkejut, tetapi sebelum dia dapat berkata apa-apa, Azmi melangkah ke hadapan, suaranya penuh empati. "Dulu aku tidak sempat untuk menyelamatkan engkau. Kemudian kita terpisah, tapi akhirnya kita bertemu semula di sekolah ini. Aku tahu, aku membuatkan kau terkenangkan masa lalu, membuat kau teringat akan kesakitan yang engkau hadapi. Namun sekarang, kau tidak sendirian. Kami ada untuk menolong. Kau tidak layak menerima nasib yang berat seperti ini. Kami masih ada bersama dan akan menolong kau."

Kata-kata Azmi itu seolah-olah membawa sedikit kelegaan kepada Anis. Tanpa dapat menahan diri, dia akhirnya menangis di atas ribaku. Aku membiarkannya, merangkul bahunya dengan lembut, memberikan sokongan yang dia perlukan. Kami semua berdiri di situ, menemani dia dalam kesedihan, bersama hujan yang turun dengan lebat, seolah-olah alam juga turut merasai penderitaannya.

Setelah kejadian itu, Anis berubah. Dia tidak lagi terperangkap dalam trauma masa lalunya, tidak lagi gentar apabila mendengar perkara yang berkaitan dengan sejarah hidupnya. Dia kembali ceria seperti dahulu, dengan senyuman yang mula muncul di wajahnya, memberi harapan baru kepada kami semua.

Azmi, Justin, Syafikah, Saifu, dan ahli kelab Misteri yang lain turut merasa gembira dengan perubahan itu. Kami semua dapat merasai betapa pentingnya sokongan antara satu sama lain. Anis kini tidak lagi berseorangan menghadapi kesakitannya. Dia tahu bahawa dia boleh bergantung kepada kami, dan kami akan sentiasa ada untuknya.

Kami berjanji untuk terus berjalan bersama, melangkah ke hadapan, tanpa menghiraukan bayang-bayang gelap masa lalu yang cuba menghantui kami.

Catatan:

Tamat...