HARI KESEMBILAN
Pada hari tersebut, Aiman sudah sembuh dari penyakit dan dapat pergi ke kelas seperti biasa. Semasa waktu rehat, aku berjalan di taman dan terdengar suara Atirah sedang menelefon seseorang. "Ya, Sasaran telah dikesan. Cuma menunggu masa aja," terdengar dari telefon. Kemudian, dia ternampak aku lalu segera meletakkan semula telefonnya.
Aku bertanya dengan siapa dia bercakap, dan jawabnya, "Itu cuma kawan aku, kami sedang memburu tupai, takda apa yang penting." Dia berlalu pergi meninggalkanku tanpa menjawab lebih lanjut.
Selepas tamat waktu belajar, Amiliya datang menegurku tentang alasan aku berlari dan langsung tidak memperdulikan Aiman yang sedang sakit. Kai dan Haikal pun ingin tahu. Kemudian, Kai bertanya, "Mungkin ke ada kaitan dengan Cip yang kau suruh aku periksa?" Haikal pun menanyakan soalan lagi, "Kau menyimpan rahsia dari kami, betul kan?" Nampaknya, Dayana pun ingin tahu sebabnya. Lama kelamaan, hampir semua orang menanyakan kepadaku. Aku tidak tahu sama ada patut aku beritahu hal yang sebenar atau berdiam diri.
Kemudian, Saiful memegang bahu ku dan membawaku keluar dari kelas. Kami berjalan di koridor. Lalu, Saiful menanyakan padaku tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Aku tidak tahu sama ada patut untuk jujur padanya atau berdiam diri. Kemudian, dia bertanya tentang BlackAlpha dan Beg NPV yang dia lihat. Aku terpaksa memberitahunya kenyataan yang sebenar.
Setelah menceritakan kesemuanya, akhirnya Saiful memahami erti pembinaan itu. Kemudian, Amiliya datang berjumpa denganku. "Tadi memang betul-betul teruk kan? Apa yang dimaksudkan Kai sebenarnya? Cip apa yang kau telah jumpa?" katanya. Kemudian, kami bertiga berjalan menuju ke bilik kecemasan untuk berjumpa dengan Anis yang sekarang ni sedang sakit. Dalam perjalanan, aku menceritakan tentang semua yang aku tahu.
Amiliya menjawab, "Nampaknya ia tidak ada kaitan dengan ibuku." Saiful pula berkata, "Sebenarnya apa yang kamu berdua cari?" Kata-kata Saiful yang masih tidak memahami situasi kami.
Setelah sampai di bilik rawatan, aku melihat Azmi sedang memberi sejambak bunga kepada Anis yang masih pengsan. Ahli kelab misteri yang lain juga turut melawatnya, tetapi Atirah tidak kelihatan; mungkin dia pergi memburu tupai. Amiliya menegur rakan kelabnya, kemudian Saiful meminta diri untuk pergi ke suatu tempat.
Aku mula menegur Azmi. "Hey Azmi, kenapa kau memberi bunga kepada Anis?"
Azmi menjawab dengan nada yang agak jauh, "Aku dan Anis pernah berjumpa. Waktu pertama kali kami berjumpa adalah di sekolah Permata Mutiara. Semasa di sekolah Permata Mutiara, Anis begitu ceria. Aku mempunyai lima orang kawan baik di sana. Mereka ialah Hafiz, Kimi, Anis, dan aku."
Aku yang mendengar kata-kata Azmi bertanya, "Dan seorang lagi?" Nampaknya dia tidak ingin memberitahu lebih lanjut, wajahnya tiba-tiba berubah serius.
Aku bertanya lagi, "Kenapa kau tidak memberi tahu aku segalanya?"
Azmi membalas dengan perlahan, "Kerana ada udang di sebalik batu. Kerana itu aku tidak memberitahu kamu dari awal." Dia berhenti seketika, seakan memikirkan sesuatu, lalu menyambung, "Ada banyak hal yang lebih baik kalau tidak diungkapkan. Kadang-kadang, ada rahsia yang perlu disimpan untuk melindungi orang lain."
Aku hanya terdiam mendengar jawapan Azmi yang penuh teka-teki. Ada sesuatu yang lebih besar di balik kata-katanya, sesuatu yang aku rasa belum aku fahami sepenuhnya.
Aku pun meninggalkan Azmi dan terus berjalan. Tidak lama kemudian, aku bertemu dengan Justin. Nampaknya dia sedang berjalan bersama Natsumi.
Aku memberitahunya tentang lelaki bertopeng yang aku jumpa semalam. "Lelaki itu pernah memberi amaran yang sama kepada kami," jawab Justin dengan wajah serius.
Kami terdiam sejenak, merenung kemungkinan-kemungkinan yang ada. Perasaan tidak tenang melanda, seperti ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di luar pengetahuan kami.
Tiba-tiba, Anis tersedar dari pengsan. Dia mula membuka matanya dan melihat Azmi serta ahli kelab yang lain di sekelilingnya. Justin segera pergi berjumpa dengannya. "Apa yang terjadi pada kau, Anis?" tanya Justin, wajahnya penuh kerisauan.
Anis kelihatan keliru. "Aku... aku tak ingat dengan jelas," jawabnya lemah. "Apa yang aku ingat hanyalah sehelai surat yang menyuruh aku pergi ke hutan."
Kami memberinya sedikit masa untuk cuba mengingati peristiwa yang berlaku. Setelah beberapa minit, kami memutuskan untuk beredar dan meninggalkan Anis dengan Anita, berharap dia dapat lebih tenang dan mengingat apa yang sebenarnya terjadi.
Semasa aku cuba menuruni tangga, aku terdengar perbualan antara Azmi dan Saiful. "Sudah tiga tahun selepas kejadian itu kan?" tanya Saiful.
"Ya, aku tak sangka rupanya kau bersekolah di sini juga, Saiful," balas Azmi.
Aku terkejut mendengar perbualan mereka. Rupanya orang kelima dalam kumpulan kawan Azmi ialah Saiful. Mereka nampak seperti sudah mengenali antara satu sama lain dan baru bertentang mata pada hari ini.
Saiful bertanya, "Kau tahu macam mana hendak memulihkan Anis?"
Azmi menjawab dengan nada yang agak berat, "Tidak."
"Tapi aku akan mencuba mencari penawarnya, agar Anis boleh tersenyum semula," tambah Azmi dengan tekad.
Saiful merenung ke arah langit sebelum berkata, "Aku gembira melihat kamu berdua masih hidup, aku gembira melihat Anis di depan mata. Namun, aku masih risau. Sekiranya sekolah ini mengalami nasib yang sama, kita semua tentu akan terpisah semula. Terpisah untuk selamanya."
Azmi membalas dengan penuh keyakinan, "Ya, dan sekiranya itu terjadi, aku tidak akan berdiam diri lagi. Aku akan melawannya walaupun terkorban."
Aku yang mendengar latar belakang perbualan mereka berasa terharu. Sekiranya sekolah ini menghadapi nasib yang sama, aku juga akan cuba menghalangnya. Aku tidak akan membiarkan mereka berdua, serta kawan-kawan yang lain, terpisah lagi. Aku akan berjuang bersama mereka.
Kemudian aku pergi melawat Anis untuk bertanya khabar. Nampaknya Anis sedang tidur, kelihatan keletihan dan memerlukan rehat yang secukupnya. Aku tidak mahu mengganggunya, jadi aku memilih untuk duduk di bangku menunggu di luar bilik rawatan.
Help support creative writers by finding and reading their stories on the original site.
Tidak lama kemudian, Anita datang dan duduk di sebelahku. Hanya kami berdua sahaja yang berada di situ, dalam keheningan yang agak panjang.
"Nampaknya kamu semua sudah mengenali Anis," kata Anita, memecah kesunyian.
"Ya," jawabku sambil memandang ke arah Anis yang masih terbaring di atas katil. "Anis memang kawan baik kami."
Anita mengangguk, senyuman kecil terukir di wajahnya. "Anis adalah salah satu dari kelab kami," tambahnya.
Aku merasa sedikit tertanya-tanya dan bertanya, "Kelab apa sebenarnya itu? Aku tertarik nak tahu asal usul Kelab Misteri."
Anita terdiam sejenak, seperti sedang mengenang kembali kenangan lama. Kemudian, dia mula bercerita dengan penuh perhatian.
"Kelab Misteri ini sebenarnya bermula beberapa tahun yang lalu. Pada mulanya, kami hanya sekumpulan pelajar yang tertarik dengan perkara-perkara yang aneh dan tidak dapat dijelaskan. Kami sering bertanya soalan tentang fenomena aneh yang berlaku di sekolah, tentang kejadian-kejadian yang tidak masuk akal, dan tentang rahsia yang tersembunyi. Kami ingin mencari kebenaran di sebalik semua misteri itu," kata Anita, matanya merenung jauh seolah-olah mengingatkan kembali saat-saat pertama mereka memulakan kelab ini.
"Anis antara ahli pertama yang menyertai. Dia memang seorang yang penuh dengan semangat untuk mencari jawapan. Ketika kami mula-mula terbentuk, kami tidak tahu apa yang akan kami hadapi. Tapi satu perkara yang pasti, kami semua terikat dengan satu tujuan: untuk mengungkap rahsia yang tersembunyi di sekitar kita."
Anita berhenti sejenak, memandang ke arah Anis yang sedang tidur, lalu melanjutkan, "Namun, semakin lama kami menyelidik, semakin banyak pula cabaran yang kami hadapi. Banyak perkara yang kami temui menakutkan, dan ada kalanya kami hampir berputus asa. Tapi kelab ini tetap bertahan, kerana kami percaya ada sesuatu yang lebih besar daripada apa yang kita lihat."
Aku mendengar dengan teliti, semakin tertarik dengan kisah yang Anita ceritakan. Ada banyak lagi yang ingin aku tahu tentang kelab ini, namun aku memilih untuk memberi ruang kepada Anita untuk menyelesaikan ceritanya.
"Sebenarnya, walaupun kami menjalankan penyelidikan dan mencari jawapan kepada semua misteri ini, kami juga menjaga satu sama lain," kata Anita sambil tersenyum. "Itulah yang membuatkan kami tetap kuat, walaupun menghadapi pelbagai dugaan."
Aku mengangguk, memahami bahawa Kelab Misteri bukan sekadar kelab penyelidikan biasa. Mereka adalah satu keluarga yang saling menyokong antara satu sama lain, menghadapi misteri dan cabaran bersama-sama.
Anita mendengar soalan aku dengan penuh perhatian, dan seketika itu suasana menjadi sunyi seolah-olah memikirkan jawapan yang tepat untuk memberikan penjelasan kepada semua yang aku terfikirkan.
"Memang sukar untuk difahami, kan?" jawab Anita, suaranya lembut. "Anis memang mengalami trauma yang mendalam, dan itu adalah sesuatu yang sukar untuk diungkapkan. Mengenai kenapa dia tidak trauma semasa pertama kali menyiasat Beg NPV, itu adalah kerana pada masa itu dia belum mengingat semuanya. Sebelum dia melihat video di perpustakaan, ingatannya tentang apa yang berlaku ke atas dirinya tidak lengkap. Dia mungkin tidak sedar sepenuhnya apa yang dia alami kerana ia tersembunyi jauh dalam fikirannya."
Aku cuba memproses semua kata-kata Anita itu, tetapi masih ada banyak perkara yang aku tidak faham.
"Tapi kenapa dia boleh lupa apa yang berlaku ke atas dirinya?" tanyaku lagi, masih tertanya-tanya.
Anita menarik nafas panjang. "Itulah sebabnya saya fikir Anis mungkin mengalami amnesia. Dia bukan sahaja melupakan peristiwa-peristiwa yang menyakitkan, tetapi juga hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Apabila dia mula mengingati semula melalui video, ingatannya kembali dengan penuh kepedihan. Itu adalah satu bentuk perlindungan diri—otaknya cuba melupakan trauma yang terlalu berat untuk ditanggung."
Aku mengangguk perlahan, cuba memahami situasi Anis yang semakin kompleks. "Jadi, video itu telah membuka kembali memori yang terkubur dalam dirinya?"
"Betul," jawab Anita. "Video itu bukan sahaja mengingatkan dia tentang masa lalunya, tetapi ia juga mencetuskan semula trauma yang pernah dia alami. Masa lalu yang cuba dia lupakan, kini datang menghantuinya kembali."
Aku terdiam sejenak, berfikir tentang apa yang mungkin Anis rasakan sekarang. Sungguh berat beban yang harus dia tanggung, dan lebih tragis lagi apabila dia tidak mampu mengingati dengan jelas apa yang berlaku ke atas dirinya selama ini.
"Tapi," aku bertanya, "Kenapa Azmi tidak memberitahu aku semuanya lebih awal? Kenapa dia biarkan aku terjerat dalam semua misteri ini tanpa tahu apa-apa?"
Anita menghela nafas panjang, seolah-olah tahu bahawa aku akan bertanya soalan itu. "Azmi... dia terlalu melindungi semuanya. Dia mahu kamu masuk dalam kelab ini tanpa mengetahui sepenuhnya apa yang sebenarnya berlaku. Dia takut jika kamu tahu lebih banyak, kamu mungkin akan terjebak dalam masalah yang lebih besar, masalah yang lebih berbahaya."
Aku terkejut dengan penjelasan itu. "Maksudnya, Azmi tahu tentang bahaya yang ada dalam kelab ini sejak dari awal lagi?"
"Ya," jawab Anita perlahan, "dan dia tidak mahu kamu terbeban dengan rahsia yang terlalu berat. Azmi tahu kelab ini bukan sekadar penyelidikan biasa. Ada sesuatu yang lebih gelap di sebaliknya. Itulah sebabnya dia tidak memberitahu kamu segala-galanya."
Aku mengeluh, merasa terperangkap dalam labirin misteri yang semakin rumit. "Tapi sekarang aku tahu terlalu banyak. Bagaimana aku boleh keluar dari semua ini?"
Anita memandangku dengan penuh pengertian. "Kamu tidak boleh keluar begitu sahaja. Sekali kamu terlibat dalam misteri ini, kamu akan terikat dengan sejarah dan masa depan kelab ini. Kamu sudah menjadi sebahagian darinya. Dan walaupun kamu berusaha untuk melupakan, itu tidak akan mengubah apa yang telah terjadi."
Aku terdiam, fikiran bercelaru dengan segala maklumat baru yang aku terima. Ada terlalu banyak persoalan yang belum terjawab. Tetapi satu perkara yang jelas: kelab misteri ini lebih daripada sekadar satu kumpulan penyelidik. Ia adalah tempat di mana kebenaran dan rahsia bertembung, dan aku tidak tahu apakah aku cukup kuat untuk menghadapinya.
Masa berlalu dan Azmi muncul dari tangga, melangkah dengan tenang. Dia berhenti seketika dan bertanya tentang keadaan Anis.
Aku yang sedang berdiri, terus menghadap Azmi dan bertanya, "Azmi, kau pernah menjalani ujian DNA di markas SCI?"
Azmi tertawa seketika sebelum menjawab, "Bukan, bukan aku."
Aku mengerutkan dahi dan mengajukan soalan lagi, "Kenapa kau menubuhkan kelab Misteri?"
Azmi menghela nafas dan menjawab, "Bukan aku yang mengasaskannya, tapi Amiliya. Kerana teruja ingin mengetahui di mana ibunya berada, dia memutuskan untuk membina kelab Misteri."
Aku bertanya lagi, "Jadi apa tujuan kau menyertai kelab ini?"
Azmi membalas, "Kerana aku fikir NPV telah terbakar dalam letupan bom BlackAlpha, dan ternyata ada seseorang yang membuat salinan lalu meletakkannya ke dalam sebuah beg. Beg itu adalah NPV, sebab itulah aku teringat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejadian tersebut. Aku ingin tahu apa yang akan dilakukan oleh pihak Akademi Putra terhadap beg itu. Aku mengajak Anis untuk turut serta, berharap dia dapat menjadi seorang idola yang dapat dicontohi. Tapi aku telah membuat satu kesilapan. Anis melihat sebuah video dan dia teringat semula tentang ujian yang dilakukan ke atasnya. Aku sangat kecewa kerana aku telah membuat kesilapan dua kali."
"Apa kesilapan pertama kau?" tanyaku, ingin tahu lebih lanjut.
Azmi terdiam seketika sebelum menjawab, "Kesilapan pertama aku adalah membiarkan Anis menjadi bahan ujian. Aku bersyukur kerana masih dapat bertemu dengannya di sekolah ini. Dan aku berazam untuk memulihkan semula sel-sel Anis yang rosak akibat ujian itu. Itulah sebabnya aku berada di kelab ini—untuk memulihkan Anis."
Tiba-tiba, suara Justin terdengar dari belakang, "Cerita yang panjang dan penuh dengan latar belakang yang sukar difahami."
Azmi menoleh dan Justin menyambung, "Aku mahu tanya, kenapa kau tidak terus terang kepada aku semasa aku menanyakan soalan di dalam kelab berkaitan dengan Beg NPV tempoh hari?"
Azmi menghela nafas dan menjawab, "Kerana aku tidak percaya kepada budak baru. Tapi sekarang ni, aku percayakan kau, Justin, dan juga kau, Hazrul."
Aku terdiam sebentar, lalu bertanya, "Bagaimana kita hendak memulihkan Anis?"
Justin tersenyum dan berkata, "NPV itu bukan virus, ia adalah ubat. Untuk menghilangkan trauma Anis, cukup dengan kata-kata."
"Kata-kata? Kata-kata apa?" tanyaku, keliru.
Justin mencantumkan tangannya, membentuk hati, dan berkata, "Kata-kata Mutiara yang Bersinar, seperti yang aku lakukan pada Saiful."
Azmi mendengar itu dan berkata, "Kalau aku tahu lebih awal tentang Saiful, kan bagus?"
Justin memandang Azmi dengan penuh pengertian lalu berkata, "Kita tidak boleh mengubah masa lepas, tapi kita boleh mengubah masa depan."
Catatan
-Bagaimana Amnesia terjadi kepada Anis.
-Cara memulihkan Anis.