Novels2Search
Akademi Putra Hari Terasing [Malays]
Chapter 11 Kelab Komputer

Chapter 11 Kelab Komputer

HARI KESEBELAS

Setelah aku menulis "TAMAT", aku sedar bahawa itu bukanlah pengakhiran yang sebenar. "TAMAT" yang aku tuliskan bukan bermaksud cerita ini telah sampai ke hujungnya, tetapi ia adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar, sesuatu yang masih belum berakhir. Aku telah mengetahui segalanya tentang Anis, namun jalan yang perlu dilalui selepas ini masih penuh dengan cabaran dan misteri yang perlu diselesaikan. Kadang-kadang, aku merasa seperti aku telah terlalu cuai, tetapi itu adalah pelajaran yang harus aku terima.

Hari kesebelas tiba, dan aku masih di sini, cuba untuk memahami segala yang berlaku. Memulihkan hati yang terluka bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bukan hanya tentang masa, tetapi juga tentang cara kita menghadapinya. Jika kita salah langkah, luka itu mungkin akan menjadi lebih dalam. Dan jika kita tidak berhati-hati, luka itu mungkin tidak akan pernah sembuh. Semua ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan cara yang tepat.

Kami memutuskan untuk membawa Anis bersiar-siar di taman, berharap ia dapat memberi ketenangan kepada dirinya yang masih dilanda keresahan. Taman ini, dengan suasananya yang damai dan tenang, diharap dapat memberikan ruang untuk Anis melepaskan segala tekanan yang terkumpul dalam dirinya. Di taman ini, segala sesuatu disusun dengan sempurna. Ada kolam yang tenang, tempat untuk bersenam, pokok-pokok hiasan yang rapi, dan banyak lagi. Setiap penjuru taman ini nampak seperti dicipta untuk memberi kedamaian.

Kami berjalan perlahan-lahan, menikmati udara segar dan keindahan sekitar. Suara angin yang berdesir di antara daun-daun pokok memberikan ketenangan, sementara kolam yang tenang mencerminkan langit yang cerah. Ini adalah tempat di mana para pelajar datang untuk melupakan masalah mereka seketika, dan kami berharap Anis dapat merasai sedikit ketenangan di sini, jauh dari beban yang menimpanya.

"Saya rasa lebih baik sedikit," kata Anis perlahan, suaranya lebih lembut daripada sebelumnya. Mungkin, walaupun hatinya masih terluka, dia mulai merasai sedikit harapan. Aku tersenyum mendengarnya, walaupun aku tahu perjalanan pemulihan ini tidak akan mudah, sekurang-kurangnya dia sudah memulakan langkah pertama.

"Tak perlu terburu-buru, Anis. Setiap langkah kecil itu penting," aku berkata, meyakinkannya.

Kami terus berjalan bersama, menikmati keindahan alam sekitar dan berbicara tentang perkara-perkara ringan, seperti masa depan dan impian masing-masing. Dalam keheningan itu, aku menyedari bahawa perjalanan ini adalah milik kami bersama. Tidak ada lagi yang perlu disembunyikan atau ditakuti. Kami akan terus maju, menyembuhkan luka lama dan menghadapinya dengan kekuatan yang baru.

Aku terbaring di atas tanah berdekatan dengan taman, dikelilingi dengan kehijauan yang menenangkan. Aiman duduk di sebelahku, wajahnya kelihatan keliru dan agak bingung. "Aishh, susah! Dari tadi aku cuba menyelesaikannya, tapi tetap tak boleh!" keluhnya.

" Ada apa, Aiman?" tanya aku, sedikit kehairanan melihatnya tertekan.

"Aku tak boleh jawab soalan ni," jawab Aiman dengan nada frustrasi.

"Yang mana?" aku datang mendekatinya dan cuba melihat soalan yang sedang dia hadapi. Namun, dia segera menghalangku.

"Ah, pergi main jauh-jauh, mengganggu betul kau ni," kata Aiman dengan nada kesal.

Aku mengangkat kening dan cuba melihat lagi, tetapi akhirnya aku terpandang soalan yang tertera di telefon Aiman. Rupanya, ia adalah soalan Cinta dari Alia yang dia tak dapat jawab. Aku tergelak melihatnya.

"Soalan macam ni pun kau tak boleh jawab?" tanya aku sambil ketawa kecil.

"Ada ke patut dia tanya soalan ni pada kau, lawak, lawak," aku sindir, masih tertawa.

"Haha, lawak sangat lah tu!" Aiman membalas dengan sindiran juga. Tanpa berlengah, aku merampas telefon Aiman dan berlari menjauh darinya.

Aiman, yang tak mahu kalah, segera mengejarku. Kami berlari hampir keseluruhan taman. Kejar-mengejar ini terasa seperti cabaran kecil yang menggembirakan. Namun, selepas beberapa ketika, Aiman kelihatan keletihan. Dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok, menghembus nafas berat.

Aku berdiri di depannya, masih memegang telefon Aiman, lalu dengan tersenyum aku memulangkan semula telefon kepadanya. "Kau ni memang laju," katanya sambil menghembus nafas panjang.

"Biasa saja," jawabku sambil tersenyum, menikmati momen kecil itu.

Aku duduk di sebelahnya, rasa tenang setelah berlari tadi. Tanpa sengaja, aku bertanya, "Adakah kau marah pada aku?"

"Tak, kenapa?" Aiman jawab sambil menatapku, seperti biasa, penuh dengan ketenangan.

"Yelah, tempoh hari aku tinggalkan kau di kantin semasa kau sedang sakit. Adakah kau marah?" tanyaku, dengan sedikit rasa bersalah.

Aiman menjawab dengan tenang, "Aku dah faham dengan perangai kau. Jika ada masalah yang lebih besar dari masalah yang lain, kau akan tinggalkan masalah yang kecil dan menghadapi masalah yang lebih besar." Dia kemudian memandangku dan menyambung, "Semua orang ingin tahu masalah kau. Jadi katakanlah padaku!"

Aku terdiam sejenak, cuba mencerna kata-katanya. "Masalah ku telah selesai, dan apa yang aku cari sudah kutemui," jawabku, memberi jaminan. "Jadi sekarang, aku mahu mengetahui apa punca kau sakit sehingga memerlukan penawar yang kuat."

Aiman menunduk dan berkata perlahan, "Aku tidak tahu apa puncanya. Yang aku tahu, seseorang memberikan aku minuman, malah aku tak ingat siapa dia." Dia kelihatan masih bingung dan agak terkejut dengan kejadian itu.

Mendengar penjelasannya, fikiranku berputar. Apa tujuan sebenarnya Aiman diracuni? Siapa yang berani melakukan perkara sebegitu? Ada banyak persoalan yang masih belum terjawab.

Tiba-tiba, Alia datang menghampiri kami dan menegur Aiman. Aku, yang merasa agak terasing antara mereka, memutuskan untuk mengundurkan diri. Dengan perlahan aku bangkit dan berjalan meninggalkan mereka berdua, memberi mereka ruang.

Namun, dalam langkahku yang perlahan, aku menoleh ke belakang sekali lagi. Kelihatan Aiman dan Alia sedang berbual mesra, membuatkan aku merasakan sedikit ketegangan di dalam hati. Apakah yang sedang berlaku antara mereka? Namun, aku tahu, itu adalah urusan mereka. Aku hanya perlu memastikan Aiman selamat dan segala yang terjadi akan terbongkar suatu hari nanti.

Aku berjalan perlahan di sekitar kawasan hutan, di tempat di mana Anis pengsan beberapa hari lalu. Kesan pedang dan tanda-tanda pertempuran antara Max dan penjubah hitam masih kelihatan jelas pada batang pokok, seolah-olah jejak pertarungan itu baru sahaja berlaku. Walaupun kawasan ini nampak tenang dan damai, perasaan aku tetap bergelora. Udara di sekitar sini terasa nyaman, dengan dedaunan yang berdesir ditiup angin. Namun, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena.

Aku terus melangkah, meneliti setiap sudut kawasan ini. Tiba-tiba, aku melihat beberapa larangan kecil di sekitar kawasan hutan, seperti tanda yang tidak sepatutnya ada di sini. Dan lebih menghairankan lagi, sebuah patung yang terletak tepat di tengah-tengah hutan, seolah-olah ia mempunyai kaitan dengan sesuatu yang lebih besar, sesuatu yang lebih misteri.

Di tengah pencarianku, aku bertemu Justin yang kelihatan sedang mencari sesuatu dengan penuh fokus.

"Oii, Justin! Apa yang engkau cari?" tanya aku sambil mendekatinya.

"Oh, kau. Aku ingat kau dah berhenti mencari misteri yang ada!" jawabnya tanpa menoleh, matanya terus tertumpu pada sekeliling.

"Apa maksud kau?" tanyaku, sedikit kebingungan dengan kata-katanya.

"Tiada apa-apa," balasnya sambil terus memeriksa keadaan sekitar dengan teliti.

"Eh, apa yang kau cari sebenarnya?" tanya aku sekali lagi.

Dia berhenti sejenak dan memandangku. "Aku masih mencari siapa yang memerhatikan kita dan kenapa dia menyerang Anis," jawabnya dengan suara yang lebih serius.

Aku terdiam, memerhatikan gerak-gerinya. Kemudian, pandanganku tertumpu pada sebuah kamera keselamatan yang terpasang di atas pokok berhampiran. "Itu bukan seperti kamera keselamatan ke?" tanya aku sambil menunjukkan ke arah kamera tersebut.

"Nampaknya betul," jawab Justin, matanya tajam memerhatikan kamera itu.

This text was taken from Royal Road. Help the author by reading the original version there.

Kami terus berjalan, mencari petunjuk lanjut. Tidak lama selepas itu, kami bertemu dengan Kai yang sedang berjalan menuju ke arah kami.

Kami menyuruh Kai untuk memeriksa kesemua kamera keselamatan yang ada di sekitar hutan ini. Namun, dia kelihatan sedikit ragu-ragu. "Aku tak boleh. Untuk melakukan itu, aku perlu ke makmal komputer, dan buat masa sekarang ni, kelab komputer sedang menggunakannya," katanya.

Aku mengangguk, memahaminya. Kemudian Justin memutuskan untuk pergi berjumpa dengan kelab komputer untuk meminta keizinan bagi mengakses makmal itu. Sebelum dia pergi, dia memberi isyarat supaya aku terus menunggu dengan Kai.

Selepas Justin pergi, Kai memandang aku dan berkata, "Aku sudah selesai berbincang dengan rakan sekelas dan mereka faham yang kau sekarang sedang menghadapi masalah."

"Masalah apa?" tanyaku, agak terkejut.

"Masalah nyanyuk yang melampau batas," jawab Kai sambil tersenyum nakal. Dia memandang aku dan ketawa kecil.

Aku hanya terkebil-kebil, tidak pasti sama ada dia serius atau bergurau. "Okey-okey, aku bergurau je tadi!" tambahnya dengan gelak tawa yang semakin lemah.

Aku tidak tahu sama ada ia satu gurauan atau kenyataan sebenar, tetapi aku tahu, ada perkara lebih penting yang perlu aku selesaikan sekarang. "Aku terpaksa pergi untuk melihat keadaan Justin," kataku, akhirnya memutuskan untuk berpisah dengan Kai.

"Nanti, aku pun nak ikut sekali," balas Kai sambil mengikutiku beberapa langkah.

Kami berdua bergerak menuju ke kelab komputer, harapan kami kini terletak pada apa yang mungkin dapat ditemukan dalam data dari kamera keselamatan yang sedang diperiksa. Apakah yang akan kami temui? Itu masih menjadi tanda tanya, tetapi aku tahu, aku harus terus mencari jawapan.

Sesampainya di makmal komputer, aku melihat Justin berdiri di hadapan pintu, mengetuk dan memanggil-manggil. "Bagi aku masuk! Woi! Apa yang kau buat tu tak penting!" dia berteriak.

"Apa yang berlaku, Justin?" tanyaku, sambil mendekati. Aku agak terkejut melihat dia yang terjerit-jerit begitu.

"Kelab komputer ni halau aku!" jawab Justin, kelihatan marah. "Semata-mata hal kecil!" tambahnya lagi.

"Hal apa?" tanya aku, ingin tahu.

"Semata-mata sebab game RV," jawab Justin, nada suaranya penuh dengan kekesalan.

"Bodohnya!" balas Kai, mendengar cerita Justin dengan rasa tidak puas hati.

Kami bertiga hanya saling memandang, kemudian sepakat untuk bertindak. Dengan satu gerakan serentak, kami memecahkan pintu makmal komputer. Apabila pintu terbuka, kami terkejut melihat keadaan di dalam makmal. Beberapa ahli kelab komputer sedang duduk santai, namun ekspresi mereka berubah menjadi serius apabila melihat kami.

"Kamu ni degil ya?" tanya salah seorang dari mereka, matanya tajam memandang kami.

"Kami datang untuk menggunakan komputer kerana urusan penting," jawab Kai, tegas.

Salah seorang daripada mereka tersenyum sinis. "Baiklah, mari kita main satu permainan," katanya.

"Permainan apa?" tanya Justin, tak faham.

Mereka berbisik sesama mereka dan memandang kami, seolah-olah merancang sesuatu. "Kita akan bermain game," jawab mereka, senyuman lebar terukir di wajah mereka.

"Game?" ulangku, masih tidak percaya.

"Ya, jika kamu menang, kamu boleh guna komputer kami. Kalau kalah, berambuslah," kata salah seorang ahli kelab, dengan nada yang lebih mendesak.

Justin tanpa berfikir panjang mengangguk. "Saya setuju," katanya, memandang kami dengan tekad.

Perlawanan bermula dengan format 3 lawan 3. Dua orang dari kelab tersebut menjadi pengadil. Kami tidak banyak membuang masa, terus memasuki medan pertempuran. Permainan bermula dengan cepat, dan tidak seperti yang kami jangkakan, ianya menjadi sangat sengit.

Namun, tidak lama selepas itu, kami mula terganggu dengan sikap pengadil yang jelas tidak adil. Mereka kelihatan memihak pada pihak kelab, memberi kelebihan pada mereka dalam setiap keputusan. Kami cuba bertahan, tetapi gangguan demi gangguan menghalang permainan berjalan dengan lancar.

"Ini tak adil!" protes Justin, tetapi pengadil hanya memberi isyarat untuk kami terus bermain, tanpa mempedulikan keluhan kami.

Kami berjuang sekuat tenaga, namun setiap langkah seakan-akan memberi cabaran baru yang lebih sukar.

Setelah kami berjaya mengalahkan mereka dalam permainan, mereka akhirnya membenarkan kami untuk menggunakan komputer, dan mereka pun mencari tempat lain untuk bermain game. Kai segera duduk di hadapan komputer, mulai memeriksa semua kamera keselamatan yang ada.

Justin, dengan penuh harapan, menyuruh Kai memeriksa kawasan tempat Anis diserang oleh si penjubah hitam. Rakaman tersebut menunjukkan Anis berjalan sambil memegang sepotong surat. Tidak lama kemudian, si penjubah mengikuti dari jauh. Namun, rakaman itu tergendala sebentar dan setelah itu, kami terlihat tiba di tempat kejadian.

"Periksa lagi, Kai. Carilah apa-apa lagi yang berkaitan dengan si penjubah itu," ujar aku.

"Sekali lagi kau suruh aku?" Kai mengeluh, kelihatan agak jengkel.

"Bukan ke kau setuju untuk membantu aku?" jawabku, sambil masih memeriksa rakaman.

Aku bertanya kepada Kai, "Kenapa kau tak join kelab komputer? Kan kau mahir dalam bidang programming?"

Kai membalas dengan nada santai, "Aku dah cuba, tapi tengoklah perangai mereka. Itu sebab aku berhenti."

Kami terus memeriksa rakaman, satu persatu, mencari kaitan dengan penjubah misteri itu. Tiba-tiba kami menemui satu rakaman yang menunjukkan hari pertama aku bertemu Justin—masa acara memasak, saat Haikal mengambil gambar aku, dan beberapa tempat lain yang aku tak tahu. Kami juga melihat sang bertopeng itu terakam, tetapi hanya ketika dia melawat Anis yang sedang sakit.

Aku terus terfikir tentang amaran yang diberikannya. Apa yang dia boleh buat jika aku terus mendekati Anis? Kenapa dia begitu mengancam?

Akhirnya, Kai menemui satu rakaman yang lebih jelas. Di situ, si penjubah mula memakai jubahnya, tetapi rakaman itu hanya dapat dilihat pada waktu malam, menyebabkan wajahnya sukar dikenali.

Kai berkata, "Aku boleh pulihkan semula rakaman yang tergendala tadi, dan mencerahkan rakaman gelap ini. Tapi, aku perlukan masa, sama macam kau."

Kami berdua mengangguk, dan Justin serta aku pun meninggalkan Kai untuk meneruskan kerjanya.

Sebelum kami keluar, aku bertanya kepada Kai, "Kau takkan beritahu sesiapa, kan?"

Kai menjawab sambil menatap kami, "Jangan risau, aku takkan memberitahu sesiapa."

Kami keluar dari makmal komputer. "Baiklah, si penjubah itu akan dibongkarkan. Apa langkah seterusnya?" tanya aku kepada Justin.

Justin menjawab dengan serius, "Seterusnya, amaran yang diberikannya kepada kita. Dia kata jangan dekati Anis lagi."

Ketika itu, seorang rakan sekelas Justin memanggilnya, dan dia pun meminta diri. Aku memutuskan untuk pergi berjumpa dengan Azmi, melangkah keluar dari makmal dengan fikiran yang masih penuh dengan teka-teki tentang si penjubah misteri dan ancamannya. Setibanya aku di kelab misteri, aku membuka pintu dan mendapati Azmi tiada di dalamnya. Aku mencari ke merata tempat, namun tidak menemui bayangannya. Setelah beberapa ketika, akhirnya aku bertemu Azmi yang sedang berjalan di sekitar kawasan itu. Aku memanggilnya, "Hey, Azmi, adakah kau diberi amaran tentang jangan dekati Anis?"

Azmi memandangku dengan wajah bingung. "Tidak, dan amaran seperti apa?"

Aku pun memberitahunya tentang lelaki bertopeng yang memberikan amaran itu. Azmi kelihatan terkejut dan nampaknya dia tidak tahu apa-apa mengenai perkara tersebut. Aku terus memikirkan bentuk pakaian lelaki bertopeng itu, dan kemudian teringat sesuatu—ada logo berbentuk huruf G yang kelihatan pada jubahnya.

Ketika aku bertanya kepada Azmi mengenai logo itu, dia tampak seperti cuba mengingati sesuatu, namun akhirnya dia menggelengkan kepala. "Maaf, aku tak faham apa maksud kau dan aku tak kenal siapa lelaki yang kau cakapkan."

Aku mengangguk perlahan, merasa sedikit kecewa. Kejadian itu masih membingungkan, dan aku rasa ada sesuatu yang lebih besar yang sedang berlaku. Tanpa berfikir panjang, aku berjalan ke bawah jambatan untuk meleraikan fikiran.

Di tepi tasik, aku terlihat Amiliya sedang termenung sambil memegang sehelai surat. Aku menghampirinya dan menegur, "Kenapa awak berada di sini?"

Amiliya mengangkat pandangannya dari surat yang sedang dipegang, seolah-olah terkejut melihat aku. "Awak telah berjaya menyelesaikan misteri yang awak cari. Tahniah lah!" ujarnya, dengan nada yang kurang bersemangat. "Tapi saya pula masih bingung dengan surat yang saya terima dan ke mana ibu saya telah menghilang?" Dia termenung, memandang ke arah kolam tasik itu sambil berkata, "Kenapa semua ini berlaku kepada saya?"

Aku berdiri di sebelahnya, merasa kasihan. "Kerana itu ialah takdir," jawabku, mengingatkan dirinya bahawa kehidupan ini memang penuh dengan ujian.

Tiba-tiba, aku mendengar langkah kaki dari belakang, dan apabila aku menoleh, aku melihat Justin sedang menghampiri kami. "Takdir?" kata Amiliya, masih tidak faham, sambil memandang Justin.

"Ya," jawab Justin dengan tenang. "Awak masih memiliki ayah awak. Anak-anak di sekolah Permata Mutiara, seperti Saiful, Azmi, dan Anis, kehilangan ibu bapa mereka sejak kecil. Tapi mereka tetap kuat untuk teruskan hidup. Itu lah yang berlaku kepada Anis. Dia melalui nasib yang sangat teruk."

Amiliya memandang surat di tangannya lalu berkata, "Saya ni melebih-lebihkan perkara yang remeh sahaja." Dia berdiri dan melangkah beberapa langkah, sebelum berkata dengan tekad, "Baiklah, saya akan cuba melupakan masa silam saya dan hadapi hidup yang baru."

Tiba-tiba, Amiliya mengangkat surat tersebut dan kelihatan seperti ingin membalingnya ke dalam tasik. Aku cepat-cepat melangkah ke arahnya dan berkata, "Nanti, sebelum awak membaling surat itu, boleh berikan pada saya?"

Amiliya terdiam sejenak, kemudian dengan perlahan dia menghulurkan surat tersebut padaku. "Ambil lah," katanya dengan nada yang sedikit kecewa, seolah-olah melepaskan sesuatu yang berat dari tangannya.

Aku memegang surat itu dengan berhati-hati, sedar bahawa ia mungkin mengandungi sesuatu yang penting—sesuatu yang akan membantu kami memahami lebih banyak tentang misteri yang sedang kami hadapi.

Apabila malam menjelang, suasana hening dan indah mengelilingi aku. Cahaya bulan memancar lembut, menerangi permukaan tasik yang tenang, dan angin malam berhembus perlahan, membawa kesegaran yang menenangkan fikiran. Dalam keheningan itu, aku termenung, merenung segala yang telah berlaku sepanjang hari.

Aku berfikir tentang Kai—adakah dia telah berjaya menemukan siapa sebenarnya lelaki bertopeng itu? Apa yang akan kami lakukan jika si penjubah itu muncul lagi? Perasaan cemas dan curiga berbaur dalam hatiku. Setiap langkah yang kami ambil, setiap petunjuk yang kami temui, membawa lebih banyak persoalan yang belum terjawab. Aku tahu kami berada di penghujung jalan, namun bahaya yang menanti terasa semakin dekat.

Esok, aku berjanji pada diri sendiri untuk memberitahu Anis mengenai surat yang aku temui dari Amiliya. Surat itu mungkin lebih daripada sekadar kertas biasa—mungkin ada petunjuk penting yang perlu Anis tahu. Tetapi, aku juga berfikir tentang kesannya. Apakah Anis cukup bersedia untuk mengetahui semua ini? Adakah dia akan menerima kenyataan tentang misteri yang lebih besar yang sedang berlaku di sekelilingnya?

Aku menutup mataku sejenak, berharap bahawa esok akan membawa jawapan, atau sekurang-kurangnya sedikit petunjuk. Namun, aku tahu bahawa perjalanan ini masih jauh dan penuh dengan cabaran. Apa yang lebih penting sekarang adalah memastikan kami bersedia menghadapi apa jua yang akan datang, terutama dengan si penjubah yang masih menjadi ancaman tidak nyata.