HARI KEDUA BELAS
Keesokan harinya, aku melangkah masuk ke kelas seperti biasa. Tak lama setelah aku duduk, beberapa rakan sekelasku datang mendekat dengan wajah penuh tanda tanya.
"Hazrul, kau dah tua ke?" tanya salah seorang daripada mereka tiba-tiba.
"Hah? Apa maksud kau?" balasku, bingung.
"Kau ni masih muda lagi, tapi nampaknya macam dah mula nyanyuk," balas seorang lagi sambil tertawa kecil.
"Sejak bila pula aku nyanyuk?" Aku mengerutkan dahi, berusaha memahami apa yang mereka maksudkan.
Di sudut kelas, Kai berdiri sendirian di tepi tingkap sambil tertawa kecil, seolah-olah mendengar perbualan kami. "Si Kai tak guna," gumam hatiku dengan sedikit rasa geram.
Ketika waktu rehat bermula, aku menghampiri Kai untuk menanyakan tentang rakaman yang kami bincangkan sebelum ini. Aku memang ingin tahu perkembangan terbarunya.
"Kai, macam mana dengan rakaman tu?" tanyaku, cuba bersikap santai tetapi tak dapat menahan rasa ingin tahu.
Kai menarik nafas panjang sebelum menjawab. "Maaf, buat masa sekarang, Pengetua sedang menjalankan pemindaian data. Aku kena tunggu sampai pemindaian itu selesai sebelum dapat teruskan."
"Apa? Tak boleh ke teruskan sekarang?" balasku, agak kecewa dengan jawapannya.
"Boleh je kalau nak teruskan," jawab Kai sambil mengangkat bahu. "Tapi kalau aku ditangkap, kita semua mungkin akan kena sekali. Kau nak ke?"
Aku terdiam, cuba memikirkan risikonya. Kai sambung lagi, "Lagi pun, kelab aku akan mengadakan bunga api malam ni. Jadi, buat masa sekarang aku memang sibuk sikit. Mungkin lain kali lah ya."
Selesai berkata begitu, Kai berjalan meninggalkan aku yang masih berdiri di situ, merenungkan jawapannya.
Setelah aku masuk semula ke dalam kelas, aku perasan semua orang seolah-olah tertumpu ke arah taman di luar tingkap. Rupa-rupanya mereka sedang melihat Aiman dan Alia duduk bersama di bangku taman, kelihatan seperti pasangan yang sedang menikmati masa berdua.
Aku terdengar perbualan di antara Husnah dan Lili yang duduk di belakangku. Lili memulakan dengan nada berbisik, "Husnah, kalau awak bercinta, apa yang awak akan buat?"
Husnah tertawa kecil sebelum menjawab, "Kalau saya? Saya akan bermanja dengan teman lelaki saya sampai puas!"
Mereka berdua kemudian meneruskan perbualan itu dengan penuh keterujaan, makin lama makin bising dan bersemangat. Aku yang sudah mula merasa rimas segera melangkah pergi, menghala ke tempat dudukku sambil cuba mengalihkan fokus dari perbualan mereka yang tak henti-henti itu.
Setelah tamat waktu pembelajaran, aku berjalan santai di taman. Tidak lama kemudian, aku terserempak dengan Anis. Kami pun berjalan bersama, menikmati keindahan taman yang menghijau. Dalam hatiku, aku terfikir ini mungkin peluang terbaik untuk memberitahunya tentang surat yang dia jumpa dulu. Namun, aku tak mahu mengungkit hal itu, bimbang kalau ia akan membuatnya bersedih lagi.
Sambil berjalan, aku memberanikan diri berkata, “Hei, Anis, cita-cita awak sebenarnya nak jadi seorang idola, kan?”
Dia memandangku terkejut, namun tersenyum kecil. “Dari mana awak tahu? Agaknya Azmi yang beritahu awak, ya?”
Aku tersenyum kembali. “Tak… sebenarnya saya pernah dengar awak bernyanyi. Suara awak sangat merdu.”
Sebagai tanda sokongan, aku mula menyanyikan lagu yang pernah kudengar Anis nyanyikan. Saat aku selesai, aku menoleh padanya, dan nampak pipinya sudah kemerah-merahan.
“Awak tak payahlah nyanyi lagu tu lagi,” kata Anis, sambil tersipu-sipu.
“Kenapa?” tanyaku, tersenyum nakal.
Dia kelihatan malu, seolah-olah tidak selesa mendengar orang lain menyanyikan lagunya sendiri. Aku mengangguk perlahan. “Baiklah, saya faham. Saya takkan nyanyi lagu tu lagi,” balasku lembut, sambil memandangnya dengan penuh keikhlasan.
Kami berjalan di tepi bangunan, menikmati suasana petang yang tenang. Tiba-tiba, Haikal muncul dan menegur kami dengan suaranya yang riang, “Weh, Hazrul! Rupanya kau kat sini. Eh, siapa ni?” tanyanya sambil memandang ke arah Anis.
Aku tersenyum dan memperkenalkan Anis kepadanya. “Ini Anis, dia…”
“Teman wanita kau, kan?” Haikal memotong dengan nada menggoda.
“Apa?” balasku, terkejut dengan andaian spontan itu.
“Kenapa kau tak bagitau aku yang kau dah ada teman wanita?” kata Haikal sambil menggeleng-gelengkan kepala, seolah-olah dia benar-benar kecewa. Kemudian, dia memandang ke langit dengan ekspresi dramatik dan berseru, “Wah, bertuahnya kau! Muka macam ni pun laku juga rupanya.”
Aku mengerutkan dahi, sedikit tercabar. “Apa maksud kau?” tanyaku, cuba mendapatkan penjelasan.
Haikal tersenyum, menahan ketawa. “Tak ada apa-apa pun,” katanya, berlagak selamba.
Aku mendesak lagi, “Cakap betul-betul apa maksud kau?”
Dia hanya ketawa kecil sambil berkata, “Tak nak.”
Anis yang menyaksikan gelagat kami akhirnya tak dapat menahan tawa. “Kamu berdua ni memang kelakar lah,” katanya sambil tersenyum.
Setelah ketawa reda, Anis memperkenalkan dirinya dengan sopan, “Saya Anis, selamat berkenalan.”
Haikal dengan gaya menggoda, tersenyum kembali pada Anis. “Awak senyum kat saya ke? Alahai, janganlah. Malu pula saya nanti.”
Aku segera menegur, “Hoi, Haikal, janganlah mengada-ngada boleh tak?”
Haikal ketawa dan akhirnya mengingatkan tujuan asalnya menegur aku. “Oh ya, sebenarnya Kai tengah buat persiapan bunga api, dan dia minta aku tolong. Tapi, aku dah malas nak tolong dia. Kau boleh tak gantikan tempat aku?”
Aku mengangguk sambil tersenyum. “Boleh, lagipun aku ada benda yang aku nak tanya Kai.”
This story originates from a different website. Ensure the author gets the support they deserve by reading it there.
Anis pula mencelah dengan penuh semangat, “Lagi ramai lagi bagus. Saya pun akan tolong, jadi awak pun kena tolong juga.”
Haikal mengangguk setuju, “Baiklah, kita semua akan tolong Kai.”
Kami berjalan menuju ke bilik kebudayaan, tempat Kai dan ahli kelab yang lain sedang sibuk menghias untuk acara malam nanti. Setelah membuka pintu, kami melihat Kai bersama ahli kelab cuba memasang tirai bendera.
“Oh, kau Hazrul,” kata Kai sambil tersenyum memandangku. Dia berdiri dan berjalan menghampiri kami. Matanya kemudian tertumpu pada Anis. “Eh, bukan ke kau salah satu dari…”
Sebelum dia sempat menyebut lanjut, aku cepat-cepat memijak kakinya. Kai tersentak sekejap, lalu memandangku dengan dahi berkerut. Aku memberi isyarat kepala agar dia tidak menyebut siapa Anis sebenarnya. Kai kelihatan faham dan segera mengubah kata-katanya. “Oh, salah satu dari… kawan Hazrul.”
Salah seorang ahli kelab yang sedang minum air hampir tersedak, lalu menyembur air dari mulutnya. Haikal, yang berdiri di belakang, mencelah sambil tersenyum nakal, “Terang-terang dia bersama Hazrul dari tadi. Dah tentulah dia bukan sekadar kawan, tapi…”
“Tapi apa?” tanya Kai, pura-pura bingung.
“Tapi teman wanitanya,” jawab Haikal dengan nada mengusik. Ahli kelab tadi sekali lagi menyembur air dari mulutnya, kali ini lebih kuat.
Kai menoleh padaku dengan dahi berkerut, dan aku tergelak kecil sambil berkata, “Nanti, nanti. Kau salah faham.”
Haikal masih meneruskan usikannya, “Betul, cinta sejati kadang-kadang memang sukar difahami.” Ahli kelab itu menyembur air untuk kali ketiga, sudah tak mampu menahan gelak.
Kai akhirnya bersuara, “Apa-apa pun, mari kita siapkan bunga api ni cepat. Masa tak banyak ni.”
Ahli kelab yang menyembur air tadi akhirnya bergegas ke tandas, mungkin kerana tak tahan lagi dengan usikan tersebut. Sementara itu, Haikal mengambil gelasnya dan memandang ke dalam dengan penuh tanda tanya. “Kenapa dia minum air ni dan menyemburkannya?”
Haikal kemudian memutuskan untuk mencuba minum air tersebut, tapi sebaik sahaja dia telan, dia segera meludah kembali sambil mencebik, “Baru aku tahu… rupanya isinya air garam!”
Ketua kelab kebudayaan membahagikan tugas kepada kami semua. Aku dan Kai ditugaskan untuk membawa bunga api ke padang, sementara Anis dan ahli kelab lain menyiapkan pementasan di dewan.
Ketika sedang mengangkat kotak-kotak bunga api, Kai tiba-tiba menegur, “Oit, macam mana kau boleh kenal Anis?”
Aku tersenyum kecil dan menjawab, “Panjang ceritanya.”
“Untuk apa kau buat kerja ni?” tanya Kai padaku, sambil mengangkat kotak lain.
“Sama seperti kau, aku cuma nak tolong orang,” jawabku.
Kai mengangguk perlahan, namun kemudian aku bertanya lagi, “Macam mana dengan rakaman tu?”
“Oh, nanti bila ada masa aku akan tengok. Tapi sekarang ni kita ada tugas lain yang perlu disiapkan,” balasnya sambil tersenyum.
Aku melihat ke arah padang yang mulai gelap dan bertanya lagi, “Untuk apa kelab kebudayaan buat semua ni?”
Kai tersenyum, sedikit berjenaka, “Sebab malam ni kami nak buat pertunjukan bunga api. Kan aku dah cakap tadi?”
Kami berdua ketawa kecil dan meneruskan tugas hingga semuanya siap.
Selepas selesai, ketua kelab kebudayaan datang dan mengucapkan tahniah serta berterima kasih atas kerja yang kami lakukan. Dia turut menjemput kami untuk datang menonton pertunjukan bunga api malam itu.
Aku dan Anis berjalan keluar dari kawasan kelab. Dalam perjalanan, aku terfikir tentang surat yang aku jumpa dan mengapa dia pergi ke hutan. Tapi, mungkin ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap soal itu. Aku memutuskan untuk menyimpan soalan-soalan itu buat sementara waktu, menikmati malam yang tenang bersama Anis.
Untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas, aku memutuskan untuk berjumpa dengan Shafikah. Malam itu, selepas selesai pertunjukan bunga api, aku mencari-cari kelibatnya di sekitar kawasan. Setelah beberapa lama mencari, akhirnya aku berjaya menemuinya di satu sudut padang yang agak sunyi.
"Di sini kau rupanya, Shafikah," aku menyapa.
Shafikah yang sedang berdiri memandang ke arah langit, akhirnya menoleh dan membalas, "Adakah kau mencari aku?"
Kami kemudian berjalan perlahan di sekitar padang, jauh sedikit dari keramaian orang. Aku mengambil kesempatan untuk menanyakan tentang surat yang diterima oleh Anis, yang selama ini masih mengusik fikiranku.
"Oh, surat itu?" Shafikah menjawab tanpa terkejut. "Dia simpan surat itu dalam laci meja dia."
Aku mengangguk perlahan, merasakan sedikit kelegaan. Namun, rasa ingin tahuku masih belum terpuaskan. Aku bertanya lagi, “Kenapa Anis menyimpan surat itu? Apa yang terkandung di dalamnya?”
Shafikah memandangku, matanya seakan ingin tahu mengapa aku begitu tertarik dengan surat itu. “Kenapa, kau nak ceroboh masuk asrama perempuan ke?” katanya dengan nada berseloroh.
Aku agak terkejut dengan soalan itu dan membalas dengan sedikit gugup, "Aku dah pernah masuk ke dalam asrama perempuan dua kali," jawabku, cuba bergurau.
Shafikah mengerutkan dahi, jelas tidak percaya dengan apa yang baru aku katakan. “Apa?” dia bertanya, tidak yakin.
“Tak ada apa,” balasku cepat, cuba mengelakkan topik itu daripada diteruskan.
Shafikah hanya menggelengkan kepala, tetapi aku boleh rasa dia masih tertanya-tanya. Namun, aku lebih tertumpu pada surat yang masih menjadi misteri.
Aku akhirnya berjaya memecah masuk ke dalam asrama perempuan. Tetapi, aku masih tidak faham kenapa Shafikah menyuruhku berpakaian seperti wanita. Dengan senyuman nakal, Shafikah berkata, "Untuk masuk ke dalam asrama perempuan, kau haruslah menyerupai seorang perempuan."
Aku mengeluh. "Ya, tapi tak payahlah sampai macam ni sekali."
Meskipun merasa canggung dengan pakaian itu, aku tetap mengikut perintah Shafikah. Kami menuju ke bilik tidur Anis, dan sebaik sahaja aku melangkah masuk, aku melihat biliknya yang sangat kemas. Sama seperti yang aku dan Azmi lihat tempoh hari. Semua teratur dan nampak sempurna.
Aku kemudian membuka laci meja Anis, tetapi ia berkunci. Aku cuba membukanya dengan lebih kuat, tetapi tetap tiada hasilnya. Aku meneliti setiap sudut biliknya, mencari sebarang petunjuk, tetapi semuanya nampak biasa sahaja. Akhirnya, selepas beberapa minit cuba menyiasat, aku memutuskan untuk keluar dari bilik itu. Shafikah kemudian berkata, "Lebih baik kau pakai pakaian tadi."
Aku menggelengkan kepala. "Tak nak," balasku. Tapi, Shafikah memaksa dan aku terpaksa memakainya juga.
Tiba-tiba, Shafikah mengambil gambar dariku dari belakang. Aku terkejut dan segera menyuruhnya padam, tetapi dia hanya bergurau. Setelah itu, dia memadam gambar tersebut. Tiba-tiba, Anis datang dan terkejut melihat kami berdua di biliknya.
"Siapa ni, Shafikah?" tanya Anis dengan wajah kehairanan.
Shafikah segera memperkenalkan aku, "Ini kawan saya, namanya Amani binti Hazrul."
Aku terasa sedikit pelik dengan nama yang Shafikah berikan itu. Kenapa dia letak nama aku kat belakang tu? Aku bertanya dalam hati.
Anis hanya tersenyum dan berkata, "Indah nama dari rupa."
Aku terdiam, Apa maksud kau, Anis? hatiku bertanya.
Kemudian, Anis melihat wajahku dan bertanya kepada Shafikah, "Shafikah, kenapa muka dia nampak macam lelaki?"
Shafikah menjawab selamba, "Mungkin keturunan keluarga dia macam tu kot."
Anis mengangguk, "Oooo..."
Aku merasa terperangkap dalam situasi ini. Shafikah memang suka mengenakan aku. Aku memutuskan untuk meminta diri dan keluar. Tetapi sebelum aku pergi, Anis sekali lagi bertanya kepada Shafikah, "Shafikah, kenapa suara dia macam lelaki?"
Aku terkejut dan segera berkata, "Apa?"
"Tengok tu," balas Anis sambil menunjuk ke arahku.
Shafikah hanya tersenyum dan berkata, "Tenanglah Anis, dia memang macam tu, apa yang kita boleh buat?"
Aku hanya mampu tersenyum tawar dan segera meninggalkan mereka. Tak sangka maruahku tercalar pada malam ini, dan aku rasa sangat malu dengan apa yang baru sahaja berlaku.
Setelah berjaya keluar dari asrama, aku menanggalkan pakaian yang dipakai tadi dan menyimpannya. Setelah itu, aku pulang ke bilikku. Badanku terasa sangat penat selepas peristiwa tadi. Aku terbaring di atas katil dan cuba untuk melupakan segala yang berlaku. Beberapa saat kemudian, telefonku berdering. Aku melihat nombor ibu bapa ku tertera di skrin.
Aku menerima panggilan tersebut, dan kedengaran suara ibu di hujung talian. Mereka bertanya tentang keadaanku di sini, kerana sudah seminggu mereka tidak mendengar khabar dariku. Aku berbual dengan mereka, memberi tahu yang semuanya baik-baik sahaja. Sambil berbual, aku terdengar bunyi bising yang datang dari tingkat atas. Mungkin pemilik bilik tersebut sedang menonton televisyen dengan kuat. Aku membuka tingkap sedikit supaya dapat mendengar dengan lebih jelas apa yang dikatakan oleh ibu bapa ku.
Tiba-tiba, bunga api dilepaskan ke udara, menerangi langit malam dengan cahaya berwarna-warni. Bunyi bising dari tingkat atas berhenti seketika, memberi ruang bagi keindahan malam itu. Aku mengambil kesempatan itu untuk menyelesaikan perbualan dengan ibu bapa ku.
Selepas selesai berbual, bunyi bising tersebut kembali lagi. Namun, kali ini sesuatu yang aneh berlaku. Aku mendengar tiga das tembakan yang datang dari televisyen. Pada mulanya, aku menyangka bunyi itu hanya kesan daripada pertunjukan yang sedang berlangsung. Tetapi tembakan yang terakhir... bunyi itu datangnya dari pistol yang sebenar.
Aku terkejut dan segera melihat ke arah tingkap yang masih terbuka. Dari situ, aku ternampak Justin yang terjatuh dari tingkat atas. Hatiku berdebar, dan aku segera melepaskan telefon bimbitku dan berlari ke arahnya. Aku berlari keluar dari bilik dan menuju ke tempat kejadian. Dalam hati, aku hanya mampu berbisik, "Alangkah malangnya nasibku."
Malam itu, walaupun bunga api begitu cantik dan memukau, hatiku terasa berat. Kejadian itu telah mengubah segalanya.