Novels2Search
Akademi Putra Hari Terasing [Malays]
Chapter 15 Misteri Dipecahkan Part 01

Chapter 15 Misteri Dipecahkan Part 01

Hari Kelima Belas

Pada pagi hari yang cerah itu, aku bersiap untuk ke kelas seperti biasa. Sempat juga aku singgah di perpustakaan kerana masih awal, dan di sana aku terserempak dengan Anis yang kelihatan sibuk menolong Syafikah menyusun buku-buku. Aku menghampiri mereka, lalu menawarkan diri, “Hey, boleh saya tolong awak berdua?”

Anis memandangku, matanya seakan meneliti wajahku, membuat aku sedikit hairan. “Kenapa?” tanyaku, tetapi dia hanya menjawab singkat, “Tak, tak ada apa-apa,” sebelum kembali mengatur buku-buku di rak.

Sementara itu, Syafikah yang duduk di kerusi mengenyitkan mata padaku dan tersenyum. Dia mendekat lalu berbisik, “Macam mana hari tu?”

Aku menjeling padanya, bercakap perlahan, “Awak ni tak guna tau. Kenapa suruh saya berpakaian macam perempuan?”

“Alah, sekali-sekala pun bukan selalu,” jawabnya sambil ketawa kecil. Anis, yang sedang mengemas di rak sebelah, nampak memandang ke arah kami dengan sedikit rasa curiga.

Selepas selesai menyusun buku-buku, Syafikah tiba-tiba meminta aku untuk menemani Anis ke kelasnya. Aku memandangnya dengan sedikit kehairanan, “Kenapa aku pula yang kena hantar dia?”

Syafikah tersenyum lebar, “Alah, kelas kau dan dia kan dekat. Daripada jalan sorang-sorang, ada baiknya kau temankan dia. Macam mana, Anis?”

Anis, yang terkejut dengan cadangan itu, tergagap, “Hah? Apa?”

Syafikah hanya ketawa dan berkata sambil menggenggam tangan Anis, “Tak payahlah buat muka terkejut. Awak berdua kan dah lama kenal.”

Anis akhirnya mengangguk setuju. Aku pun bertanya pada Syafikah, “Macam mana dengan awak, Syafikah? Awak tak pergi kelas ke?”

Dia melepaskan genggaman tangannya pada Anis dan memandangku sambil membuka tangannya lebar-lebar, “Saya ketua kelab perpustakaan, tempat saya memang di sini.”

Aku hanya mengangguk dan tersenyum kecil. “Ya, baiklah, aku faham,” kataku perlahan, mengiyakan keputusannya.

Dengan itu, aku dan Anis berjalan keluar dari perpustakaan menuju ke kelas, dan suasana pagi yang tenang itu menemani langkah kami.

Saat kami melangkah keluar dari perpustakaan, Syafikah sempat berpesan, “Jaga Anis baik-baik ya.”

“Ya, baiklah,” jawabku sambil tersenyum. Kami pun berjalan di sepanjang koridor sekolah. Dalam perjalanan, aku sempat teringatkan surat yang diterima Anis. Haruskah aku memberitahunya sekarang?

Saat hampir sampai di Kelas 1B, aku melihat rakan sekelas, Alif, baru tiba dan sedang hendak membuka pintu. Dia berhenti seketika dan memandang ke arahku.

“Oh, kau Hazrul,” katanya sambil tersenyum kecil. “Eh, siapa dengan kau tu?”

Aku memperkenalkan Anis kepadanya, “Ini ialah Anis.”

Ketika pintu kelas dibuka, tiba-tiba Haikal berlari keluar sambil dikejar Lili yang kelihatan marah.

“Haikal, pulangkan balik gelang aku!”

“Haha, tak mahu,” balas Haikal, tersengih nakal.

Haikal berlari menghampiriku dan langsung berseloroh, “Kau rupanya Hazrul. Eh, teman wanita kau pun ada sekali.”

Rakan sekelas lain yang mendengar terus terkejut. “Apa? Kau ada teman wanita?” tanya Lili, matanya membesar.

“Sejak bila kau dan dia kenal?” Alif turut menyoal dengan rasa ingin tahu.

Saiful dan Amiliya yang baru tiba di kelas segera bertanya, “Woi, woi, apa kecoh-kecoh ni?”

Reading on Amazon or a pirate site? This novel is from Royal Road. Support the author by reading it there.

“Oh, awak rupanya Anis,” sapa Amiliya pada Anis, seolah-olah mengenalinya.

Tak lama kemudian, pelajar lain mula keluar kelas. Syamin bertanya dengan nada ingin tahu, “Apa yang bising-bising ni, Haikal?”

Haikal menunjuk ke arah Anis dan berseru, “Awak semua tengoklah! Hazrul ada teman wanita lah!”

“Atifah segera menyanggah, “Haaaa, setakat teman wanita tak payahlah kecoh-kecoh bising tau tak.”

Dayana dan Husnah keluar dari kelas dengan wajah kehairanan. “Hah, bisingnya. Eh, bukan ke saya pernah jumpa awak?” tanya Dayana sambil menatap Anis.

“Oh, saya dah ingat. Awak lah budak perempuan yang sakit tempoh hari, kan?”

Haikal yang semakin kelam kabut bertanya, “Hah? Sakit? Hazrul, teman wanita awak sakit ke tempoh hari? Bila?”

Dayana menjawab, “Masa tu, saya ingat hari Ahad, masa Husnah buatkan makanan untuk kita.”

Alif menambah, “Oh, jadi sebab itulah kau lari, rupanya teman wanita kau sakit ye, Hazrul.”

Satu per satu mereka mula berkenalan dengan Anis, dan aku perasan Husnah seperti sedikit cemburu.

Tiba-tiba Aiman muncul bersama Alia sambil menegur, “Weh, awak semua, cikgu suruh siapkan kerja sekolah ni.”

Alia menambah dengan wajah hairan, “Kenapa semua orang duduk di luar kelas ni?”

Haikal dengan cepat menjawab, “Hazrul ada teman wanita.”

Alia kemudian menarik telinga Haikal sambil menegur, “Haikal, kenapa kau selalu kalut bila melihat orang sedang bercinta, hah?”

“Aduh! Aduh! Sakit tau tak,” rintih Haikal, memegang telinganya.

Lili langsung menuntut, “Oh, ya! Mana gelang aku, Haikal?” katanya dengan nada marah.

Kami semua tergelak melihat gelagat mereka, dan aku lega melihat Anis juga tersenyum.

Tidak lama selepas itu, Azmi yang menuju ke kelas 2C sempat terlihat kami sedang berbual-bual di luar kelas. Dia tersenyum melihat Anis yang kembali ceria, lalu melangkah ke kelasnya dengan senyuman di wajah. Sekarang baru aku tahu, di mana kelas Azmi.

Aku menoleh ke arah Anis dan bertanya, “Anis, awak kelas keberapa?”

Dia tersenyum kecil sambil menunjukkan pintu kelasnya, “Kelas saya ialah 2B.”

Rupanya, selama ini kelas dia begitu dekat dengan kelasku.

Apabila loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah bermula, aku segera menuju ke kelas Azmi. Aku mengetuk pintu dan masuk, melihat dia sedang duduk di meja.

“Macam mana kau tahu aku kelas ni?” tanya Azmi sambil menoleh ke tingkap.

“Aku ternampak tadi,” jawabku sambil melangkah masuk. Kemudian aku duduk di depannya.

“Rupanya kau lebih tua dari aku. Aku ada soalan yang aku nak tanya pada kau,” kataku

“Apa?” tanya Azmi.

Aku mula bertanya, “Kau tahu apa-apa berkaitan dengan si penjubah atau yang berkaitan dengan dia?”

Azmi kelihatan berfikir seketika sebelum menjawab, “Tidak, setakat ni apa yang aku tahu adalah Beg NPV dan sejarah Anis. Tapi aku pernah diperhatikan oleh seseorang. Waktu itu, kelab misteri belum ditubuhkan, aku dan Anis pergi ke pembinaan untuk melihat kenapa Beg NPV boleh berada di sana. Hanya sekali itu sahaja aku rasa diperhatikan.”

“Jadi kau tak tahu lah apa kaitan si penjubah dengan Anis?” tanyaku, masih ingin tahu.

“Tidak, boleh kau ceritakan semua yang engkau tahu setakat ini?” jawab Azmi.

Aku pun menceritakan segala yang aku tahu mengenai si penjubah, Beg NPV, dan juga apa yang terjadi dengan Anis. Selepas mendengarnya, Azmi kelihatan lebih faham tentang situasi yang sedang aku hadapi.

“Baiklah, aku faham. Nanti selepas waktu pembelajaran tamat, kita berjumpa di bilik Kelab Misteri untuk membuat sidang kelab,” kata Azmi.

“Sidang kelab tu apa?” tanyaku, agak keliru.

Azmi menjawab dengan tenang, “Sidang kelab ialah tempat di mana kita menceritakan semua yang berlaku kepada ahli kelab yang lain supaya semua dapat memahami segala situasi yang ada.”

“Baiklah, aku akan datang,” balasku, mengangguk faham.

Setelah itu, aku keluar dari kelas tersebut, berfikir tentang apa yang Azmi katakan dan apa yang akan berlaku selepas sidang kelab nanti.

Apabila waktu pembelajaran tamat, aku ditugaskan untuk membersihkan kelas bersama Mimi. Setelah selesai, aku meminta diri untuk pergi ke Kelab Misteri. Dalam perjalanan ke sana, aku berasa tidak sedap hati, seperti ada sesuatu yang tidak kena, seperti akan berlaku sesuatu yang buruk, bahkan pembunuhan. Aku berhenti sekejap dan berfikir tentang pelbagai kemungkinan yang akan terjadi. Aku cuba menenangkan diri dan akhirnya meneruskan perjalanan.

Setibanya aku di bilik Kelab Misteri, kelihatan hanya Azmi dan Anita yang sudah ada. Aku sedikit lega kerana tidak terlalu lewat. Beberapa minit kemudian, Atirah pun tiba.

"Akhirnya datang juga kau," kata Azmi sambil tersenyum.

Kemudian Anita berkata, "Baik, memandangkan Amiliya belum sampai, saya nak pergi buat air."

"Biar, saya tolong awak," kata Atirah dengan segera. Mereka berdua pergi untuk menyiapkan air minuman.

Tidak lama kemudian, Amiliya pun sampai. "Persidangan ini bertujuan apa?" tanya Amiliya dengan serius.

"Bertujuan untuk mencari siapa yang memerhatikan kita," jawab Azmi dengan tenang.

Atirah berhenti seketika, seolah-olah termenung sebentar, tetapi Anita yang perasan dengan kelakuannya segera bertanya, "Kenapa?"

"Tak ada apa," jawab Atirah dengan cepat, sambil menyambung kerja mereka.

Setelah selesai menyiapkan air, Anita dan Atirah meletakkan minuman itu ke atas meja.

"Baiklah, kita mulakan persidangan ini," kata Azmi, sambil duduk di kerusi dan memberi isyarat agar semua orang duduk.

Dengan itu, persidangan kelab bermula, dan aku dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang lebih besar sedang menanti kami.