HARI KETIGA
Aku terbangun dengan rasa terkejut apabila melihat jam menunjukkan pukul 7.12 pagi. Terlewat lagi! Dalam hati aku berfikir, daripada tergesa-gesa seperti semalam, lebih baik aku ambil masa sedikit. Jadi, aku pun mengambil masa untuk makan, minum, dan mandi sebelum bergegas ke kelas. Apabila sampai di kelas, aku menyedari bahawa aku adalah pelajar yang paling lambat tiba, lebih lambat daripada Alia semalam. Rekod pelajar terburuk di sekolah ini jatuh ke tangan aku! Kejadian ini menjadi bualan hangat di kalangan rakan-rakanku. “Nasib apa ni!” bisikku dalam hati.
Ketika waktu rehat tiba, Amiliya menghampiriku dengan wajah penuh pertanyaan. “Hazrul, ada apa-apa petunjuk baru tentang misteri ini?” tanyanya, penuh harapan.
Aku menjawab, “Ada, tapi bukan banyak. Anis nampaknya trauma setiap kali mendengar perkataan ‘BlackAlpha, dan juga Saiful yang selalu memandang ke arah pembinaan itu.”
Amiliya kelihatan berfikir sejenak sebelum berkata, “Baiklah, kau cari lagi maklumat tentang Anis. Sementara itu, aku akan cuba mendekati Saiful. Siapa tahu dia mungkin tahu sesuatu?”
“Okay, aku akan buat,” jawabku sambil berlari menuju ke perpustakaan.
Setibanya di sana, aku bertanya kepada Shafikah, “Hey, ada nampak Anis hari ini?”
Shafikah menggelengkan kepala. “Maaf, aku tak nampak kelibat dia. Mungkin dia masih belum datang.”
“Oh, tidak! Mungkin aku tidak sempat jumpa dia hari ini,” keluhku, merasakan tekanan semakin meningkat. Ternyata, misteri ini semakin rumit dan aku perlu lebih banyak usaha untuk menyelidiknya.
Selepas waktu pembelajaran tamat, Amiliya ternampak Saiful mendongak ke luar dari tingkat atas. Dengan penuh keingintahuan, dia bertanya, “Kenapa kau selalu memandang binaan itu? Apa yang kau fikirkan?”
Saiful mengalihkan pandangannya dan menjawab, “Aku tidak memandang binaan itu, tetapi memandang masa depan yang musnah kerana binaan ini.”
“Boleh kau ceritakan sesuatu tentang binaan ini dan apa yang kau maksudkan dengan kemusnahan?” tanya Amiliya, semakin ingin tahu.
Saiful menarik nafas panjang sebelum berkongsi, “Aku hanya tahu, masa aku kecil dulu, aku kehilangan ibu bapa. Kemudian, aku dibawa ke sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Permata Mutiara, tempat tinggal untuk anak-anak yatim piatu. Apa yang berlaku selepas itu sangat mengerikan. Ada beberapa pelajar yang menjalani ujian DNA oleh satu puak yang misteri. Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka. Tak lama selepas itu, sekolah kami ditutup oleh Tentera BlackAlpha. Mereka berkata, ‘Demi keselamatan kamu semua, kamu harus berpindah ke tempat lain yang lebih baik dan jauh dari sini.’”
Stolen story; please report.
Saiful meneruskan cerita, “Kami dipindahkan, dan tidak lama kemudian, satu letupan yang kuat memusnahkan sekolah kami. Aku melihat ke arah langit dan nampak seperti pesawat yang datang berperang, meletupkan kawasan hutan. Peristiwa itu sangat dahsyat. Kemudian, aku dibawa oleh usahawan yang menjadikanku anak angkat dan menghantarkanku ke sekolah ini. Semasa pertama kali aku melangkah masuk ke sekolah ini, sebelum hari pendaftaran, aku melihat beberapa orang yang cuba menggali kawasan pembinaan ini. Mereka menjumpai satu beg misteri dan membawanya ke suatu tempat.”
“Alasan aku memandang tempat ini adalah kerana ia berkaitan dengan sepakatan puak BlackAlpha. Mungkin mereka merancang untuk mencipta askar yang akan memusnahkan dunia atau membina tempat uji kaji bom nuklear. Tapi, aku tidak sanggup memikirkan apa yang akan terjadi terhadap sekolah ini. Adakah ia akan menghadapi nasib yang sama atau sebaliknya?”
Setelah mendengar cerita itu, Amiliya berasa terharu dan ingin tahu lebih banyak. “Aku akan menceritakan segala-galanya kepada rakan-rakan kita,” katanya. “Tapi sekarang, aku tertanya-tanya, adakah Anis juga mengalami nasib yang sama seperti kau? Adakah dia juga bersekolah di Sekolah Permata Mutiara?” tanya Amiliya yang membuatkan Saiful terdiam.
Aku mula berfikir, bertekad untuk menyelesaikan misteri ini. Anis mungkin menyimpan rahsia yang sama seperti Saiful, dan aku perlu mencari tahu lebih lanjut untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku di sebalik semua ini.
Malam itu, setelah semua pelajaran selesai dan keadaan di sekolah semakin sunyi, aku mengambil keputusan untuk mencari maklumat mengenai BlackAlpha di Google. Namun, betapa terkejutnya aku apabila mendapati semua laman web yang berkaitan dengan BlackAlpha disekat oleh kerajaan. Seolah-olah ada sesuatu yang sangat rahsia yang ingin mereka sembunyikan.
Aku merasakan kegelisahan di dalam hati. Apa sebenarnya yang terjadi dengan BlackAlpha? Kenapa maklumat tentang mereka begitu sukar diakses? Ini hanya menambah rasa ingin tahuku untuk mengetahui lebih lanjut tentang Anis.
“Siapa sebenarnya dia?” bisik hatiku. Aku teringin untuk mengenali Anis dengan lebih dalam lagi dan memahami apa yang pernah dia lalui. Adakah dia juga terlibat dalam peristiwa misteri yang menimpa Sekolah Permata Mutiara, sama seperti Saiful?
Aku berfikir untuk berbual dengan Anis secara peribadi, berharap dia sudi berkongsi kisah hidupnya. Tetapi bagaimana aku boleh mendekatinya? Dengan pelbagai soalan yang berlegar dalam fikiran, aku memutuskan untuk merancang strategi. Mungkin esok, di sekolah, aku akan mencari peluang untuk berbicara dengan Anis dan menggali lebih dalam tentang masa lalunya. Misi ini semakin terasa penting bagiku; aku perlu tahu kebenaran yang tersembunyi di balik semua misteri ini
catatan:
-Tujuan BlackAlpha meletupkan Sekolah Permata Mutiara.
-Beg yang digali BlackAlpha.
-Adakah Anis mengalami nasib yang sama.
-Laman web dikunci