HARI KEEMPAT
Pada pagi tersebut, seseorang meletakkan makanan ke dalam mulutku. Aku terbangun dan dikejutkan oleh Husnah yang berdiri di tepi katilku. Sambil melihat riaksiku, dia berkata, "Macam mana, sedap tak biskut tu?"
Aku menggosok mataku dan tersenyum. "Sedap, tapi ada orang yang tak bagi aku tidur cukup malam tadi."
Husnah ketawa kecil. "Maaflah, saya terpaksa bangunkan awak. Sebenarnya, saya ada satu permintaan."
"Tolong apa?" balasku sambil bangun dari katil.
"Hazul, boleh tak awak tolong saya memasak?" dia memandangku dengan penuh harapan.
"Eh, tak boleh?" soalku dengan nada berseloroh.
"Boleh lah! Kelab saya ada buat pertandingan memasak hari ini. Jadi, saya nak menang pertandingan tu. Awak kena tolong saya," katanya sambil tersenyum manis. Melihat wajahnya yang comel itu, jantungku berdebar-debar.
Aku terfikir sejenak bagaimana dia boleh masuk ke bilik ini. "Eh, macam mana awak boleh masuk?" tanyaku.
"Aiman yang benarkan saya masuk," jawabnya dengan tenang.
Aku mula berasa curiga, "Tapi, kemana perginya Aiman? Sanggup dia tinggalkan kita berdua macam ni?"
"Entahlah," Husnah menjawab sambil mengangkat bahu.
Tanpa berlengah, aku mengangguk. "Baiklah, saya akan tolong. Tapi kita kena cepat!"
Husnah tersenyum lebar, gembira dengan keputusanku. "Terima kasih, Hazul! Datanglah ke bilik masakan pada pukul 9 pagi," ujarnya sebelum melangkah keluar dari bilikku.
Aku tersenyum melihatnya pergi dan mula bersiap untuk ke kelas. Dalam hati, aku masih tertanya-tanya di mana Aiman berada.
Setibanya di kelas, semua orang memandang ke arahku. Rasa curiga mula menyelimuti hatiku. "Kenapa semua orang tengok saya?" tanyaku.
"Guru suruh kita bergotong-royong membersihkan taman supaya acara memasak dapat dilakukan di sana," jawab salah seorang rakan.
"Ooh, patutlah," aku mengangguk sambil cuba memahami situasi. Semua orang kelihatan bersemangat, dan aku tidak sabar untuk membantu Husnah dalam pertandingan memasak itu.
Aku ditugaskan untuk membersihkan kawasan pejalan kaki. Semasa aku membersihkan laluan, aku bertemu dengan Amiliya. Kelihatannya, dia sedang membuang sampah ke dalam tong sampah dan tiba-tiba menegurku.
"Hai, Hazrul! Nak tolong?" dia tersenyum sambil mengangkat plastik sampah yang penuh.
"Eh, tentu. Saya juga tengah membersihkan di sini," jawabku sambil membantu mengangkat sampah di sekitarnya.
Kami bersembang sambil melakukan kerja bersama-sama. Aku mengambil tempat duduk di kerusi yang berdekatan dan bertanya, "Kenapa awak menubuhkan kelab Misteri dan misteri apa yang awak cari?"
Amiliya duduk di tepi ku dan menghela nafas. "Sebenarnya, ibuku telah meninggal semasa aku masih kecil kerana sebuah letupan. Semasa aku kecil, aku terdengar pergaduhan antara ibu dan ayah. Ibu tidak bersetuju dengan ayah yang mahu membina sekolah ini. Ibu berkata mungkin ayah akan mengulangi kesilapannya. Dia tidak sanggup lagi melihat seksaan itu."
Aku terdiam, mendengar kisahnya yang penuh emosi. "Lepas tu?"
"Setelah itu, dia cuba untuk membatalkan projek pembinaan sekolah ini. Kemudian entah bagaimana, tempat dia bekerja boleh meletup," Amiliya menjawab sambil memandang jauh, seolah-olah mengenang kenangan silam yang pahit.
Aku bertanya lagi, "Jadi, apa yang awak cari dalam kelab itu?"
"Baru-baru ini, saya terjumpa sepucuk surat. Dalam surat itu tertulis, 'Berhati-hati, Akademi Putra akan mengalami nasib yang sama seperti Sekolah Permata Mutiara. Hanya itu isi suratnya'," Amiliya menjelaskan dengan serius.
"Jadi, awak rasa ada yang tidak kena dengan Akademi Putra?" soalku, mula merasakan ketegangan dalam cerita ini.
"Ya, saya rasa ada sesuatu yang lebih besar daripada yang kita sangka. Saya ingin mencari kebenaran di sebalik semua ini," jawabnya dengan tekad di wajahnya.
Aku dapat merasakan semangatnya dan berkata, "Saya akan bantu awak cari jawapan, Amiliya."
Dia tersenyum, kelihatan berterima kasih. "Terima kasih, Hazrul. Bersama-sama, kita pasti dapat menemuinya."
Kemudian aku melihat ke arah pohon-pohon yang berkabus dan aku ternampak seseorang yang memakai jubah hitam sedang memerhatikan kami. Dia berdiri jauh, dengan pandangan tajam yang seolah-olah menganalisis setiap gerakan kami. Tiba-tiba, dia melarikan diri. Tanpa berfikir panjang, kami berlari mengejarnya, tetapi larian dia begitu pantas, lebih laju daripada yang kami jangkakan.
“Hazul, aku tak boleh! Teruskan tanpa aku!” Amiliya terpaksa menghentikan langkahnya, nafasnya tercungap-cungap. Dia kelihatan penat dan tidak berdaya.
“Baiklah, Amiliya! Tunggu di sini!” balasku, tidak mahu meninggalkan rakan di saat genting ini. Dengan semangat, aku meneruskan pengejaran, bertekad untuk tidak melepaskan si pemakai jubah hitam itu.
Di sebalik pohon-pohon yang dipenuhi kabus, aku hampir kehilangannya. Dalam keadaan cemas, aku berhenti seketika untuk melihat keadaan sekeliling. Setelah berkeliling, aku ternampak dia melompat sebuah pagar dan menuju ke Bangunan 7. Dia pantas, seakan-akan sudah tahu laluan yang paling cepat.
Tanpa membuang masa, aku terus mengejarnya, melompat pagar itu juga dan berlari ke arah pintu Bangunan 7. Namun, setibanya aku di pintu tersebut, dia sudah menghilangkan diri, seolah-olah lenyap dalam kabus yang tebal.
Ketika aku berusaha untuk bertenang, Amiliya muncul dari belakang, wajahnya kelihatan cemas. “Hazul! Apa yang berlaku? Di mana dia?” soalnya, matanya melilau mencari kelibat si pemakai jubah hitam itu.
“Aku tidak tahu! Dia terlalu cepat. Dia terus masuk ke dalam bangunan ini,” jawabku sambil melihat pintu yang tertutup rapat.
Amiliya menggelengkan kepala, “Kita perlu cari dia! Mungkin dia tahu sesuatu yang penting.”
“Setuju. Tapi kita perlu berhati-hati,” kataku, dan kami bersiap sedia untuk meneroka bangunan itu bersama-sama, bertekad untuk menemui si pemerhati misteri.
Aku memberitahunya bahawa orang yang dikejar tadi telah terlepas. Tidak sempat untuk meresap ke dalam kekecewaan, kami dikejutkan oleh satu suara yang menegur kami, “Apa yang kamu buat di blok terlarang ini?”
Aku melihat ke arah suara itu dan menyedari bahawa dia ialah pelajar dari kelas 2A. Dia tampak serius dan sedikit berang, dengan langkah yang tegas menghampiri kami.
“Blok 7 ialah tempat berbahaya dan juga kawasan larangan bagi pelajar. Apa alasan kamu berdua berada di sini?” tanyanya, menatap kami dengan ragu.
Kami bertukar pandang, dan aku mengambil keputusan untuk menjelaskan. “Kami mengejar seseorang. Dia berpakaian jubah hitam dan….”
“Tidak ada sesiapa yang lalu berdekatan sini. Mungkin khayalan kamu sahaja,” balasnya, suaranya penuh skeptis. Dia kelihatan tidak percaya, seolah-olah kami hanya membuang masa bercakap tentang perkara yang tidak masuk akal.
Amiliya berbisik, “Kita patut beritahu dia yang kita melihat seseorang. Mungkin dia tahu lebih banyak.”
Namun sebelum sempat kami menyatakan pendapat itu, pelajar 2A itu sudah menggelengkan kepala dan berkata, “Mari, saya bawa kamu pulang. Tempat ini berbahaya, lebih baik kamu berdua tidak berada di sini lebih lama.”
Dengan itu, dia memimpin kami keluar dari kawasan Blok 7, dan kami mengikuti langkahnya dengan penuh tanda tanya. Kenapa dia begitu peduli tentang kami? Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik kisah ini?
Ketika kami berjalan, aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Siapa sebenarnya pelajar ini, dan apa yang dia tahu tentang Blok 7?
Dalam perjalanan pulang, aku mengambil kesempatan untuk mengenali Justin dengan lebih dekat. “Jadi, apa nama kau dan bakat kau?” tanyaku, ingin tahu.
Dia menjawab dengan penuh keyakinan, “Nama aku ialah Justin. Aku mampu mengubah pelbagai jenis suara manusia dan haiwan.”
“Wah, itu hebat!” balasku dengan kekaguman.
Kemudian dia bertanya, “Apa nama kamu berdua dan kelas apa yang kamu duduki?”
“Aku Hazrul dan ini Amiliya. Kami berasal dari kelas 1B. Nama kelab kami ialah Misteri.”
Apabila Justin mendengar bahawa kami berasal dari kelab Misteri, wajahnya kelihatan sedikit terkejut. “Kelab Misteri? Apa tujuan kelab itu?”
“Tujuan kelab tersebut ialah untuk menyiasat asal usul sekolah ini dan misteri yang ada padanya,” jawabku dengan penuh semangat.
“Misteri? Sekolah ni memang bermisteri. Daripada kamu membazir masa untuk mencari asal usul sekolah ini, ada baiknya kamu belajar,” katanya, nada suaranya menunjukkan dia tidak begitu peduli.
Aku terdiam seketika, tetapi terus berusaha. “Sudikah kau menolong kami?” tanyaku dengan penuh harapan.
“Tak mahu. Aku langsung tidak berminat dengan perkara yang bermisteri. Kenapa kau menanyakan soalan itu kepada aku?” jawabnya, jelas enggan.
Reading on this site? This novel is published elsewhere. Support the author by seeking out the original.
“Kerana kau ialah seorang pelajar yang hebat. Aku terbaca kisah kau di carta pelajar semasa hari pendaftaran,” balasku, ingin meyakinkannya.
Justin tetap berdegil, menolak tawaran itu. Namun, Amiliya tidak berputus asa. Dia memberanikan diri untuk menceritakan kisah ibunya. “Aku ingin mengetahui sama ada ibuku telah mati atau pun masih hidup,” katanya, suaranya penuh emosi.
Justin kelihatan merenung jauh, memahami keadaan yang dihadapi oleh Amiliya. Setelah beberapa saat, dia mengangguk perlahan. “Baiklah, aku akan menolong kamu. Tapi hanya kerana kisah kamu, bukan kerana misteri.”
Aku tersenyum lega, rasa terima kasih mengalir di dalam hati. Mungkin dengan bantuan Justin, kami akan dapat menemui jawapan yang kami cari.
Setelah beberapa ketika berbual dengan Justin dan Amiliya, aku melihat jam di tanganku. Rupa-rupanya, aku sudah terlambat! Terpaksa bergegas, aku meminta diri dan meninggalkan mereka berdua.
Setibanya di bilik masakan, aku melihat Husnah sedang bertungkus-lumus bekerja seorang diri. “Dah lama ke awak tunggu?” tanyaku sambil mengetuk pintu.
Dia menoleh dan menjawab, “Datang pun, saya ingat awak tak datang!”
Sambil dia mencari barang yang diperlukan, suasana di bilik itu terasa agak cemas. Tiba-tiba, seseorang menghulurkan gula kepadanya. Rupa-rupanya, itu adalah Natsumi, seorang pelajar dari kelas 2A yang pakar dalam ilmu kimia.
“Nama saya Natsumi. Saya dengar awak perlukan bantuan,” katanya dengan senyuman.
Aku memperkenalkan diriku, “Hazrul. Kami sedang menyiapkan masakan untuk pertandingan.”
Tanpa membuang masa, kami berdua segera membantu Husnah menyiapkan masakannya. Suasana menjadi ceria apabila kami semua berganding bahu.
Setelah beberapa minit berusaha, akhirnya masakan Husnah sudah siap. Kami membawanya ke taman dan diletakkan di atas meja yang telah disediakan.
Husnah tersenyum puas dan mengucapkan terima kasih kepada kami. “Terima kasih banyak-banyak, Hazrul dan Natsumi! Tanpa kalian, saya tak tahu bagaimana saya nak siapkan semua ini.”
Aku tersenyum kembali. “Tak apa, Husnah. Kami semua berada di sini untuk membantu.”
Natsumi menambah, “Ya, semoga masakan ini dapat membantu Husnah menang pertandingan.”
Dengan semangat yang membara, kami bersiap sedia untuk melihat hasil kerja keras kami.
Tidak lama selepas itu, Amiliya dan Justin memanggilku. “Ada apa?” tanyaku, mendekati mereka.
“Kita akan menceroboh masuk ke dalam bilik pengetua,” jawab Justin sambil menunjukkan tangannya ke arah bangunan.
“Kenapa?” soalku lagi, kehairanan.
Amiliya menyambung, “Mungkin apabila kita menyelinap masuk, kita boleh mendapatkan petunjuk lain yang berkaitan dengan Akademi ini.”
Kami bertiga berjalan menuju ke bilik pengetua, berusaha berhati-hati dengan kamera keselamatan dan sentiasa mengawasi keadaan sekeliling.
Setibanya di depan bilik pengetua, Amiliya mengeluarkan kunci simpanannya dan membuka pintu. Bilik pengetua kelihatan sangat kemas dan bersih. Tanpa membuang masa, aku mengambil sebuah buku yang terletak di atas meja dan mula membacanya. Buku itu mengandungi catatan pelajar yang mungkin berguna untuk penyelidikan kami. Aku melihat Justin dan Amiliya; Justin nampak sedang mencari sesuatu, sementara Amiliya masih kelihatan bingung tentang apa yang patut dicari.
Tiba-tiba, aku terdengar bunyi tapak kaki yang menghampiri kami. “Sembunyi!” arah Amiliya dengan nada cemas. Aku berasa panik dan tidak tahu di mana tempat yang sesuai untuk menyorok. Aku cuba menyelit masuk ke dalam almari, tetapi ruangnya terlalu sempit. Justin pula melompat keluar dari tingkap, seolah-olah dia sudah hilang akal. Terpaksa, aku memilih untuk menyorok di dalam tong sampah, menahan bau yang kurang menyenangkan.
Ketika pintu dibuka, pengetua terkejut melihat Amiliya berada di dalam biliknya. “Amiliya, apa yang kamu buat di dalam bilik ayah?” tanyanya dengan nada terkejut.
Aku mendengar Amiliya menjawab, “Tak ada apa-apa, saya cuma mencari ayah di pejabat, itu sahaja.”
Pengetua tidak berpuas hati dan bertanya lagi, “Kamu masih lagi mencari punca kematian ibu kamu, betulkan?”
Kata-kata pengetua itu membuatkan aku berfikir, jika ayah Amiliya sudah mengetahui apa yang dicari oleh Amiliya, mengapa dia tidak berterus terang? Mungkin dia tidak mahu membongkarkan rahsia yang menyakitkan.
Amiliya mengangkat suaranya sedikit, kelihatan terharu, “Ibu tidak mati dalam letupan itu, kan? Dia masih hidup, bukan?”
Pengetua mengeluh dan membuka tudung tong sampah. Amiliya bertanya dengan nada tinggi, “Adakah ayah ingin menjadikan sekolah ini tempat ujikaji seperti sekolah Permata Mutiara?”
Sebelum pengetua dapat menjawab, dia melepaskan tudung dan bertanya, “Macam mana Amiliya tahu mengenai ujikaji yang dilakukan terhadap sekolah Permata Mutiara?”
Aku berasa lega kerana pengetua tidak sempat melihat isi kandungan dalam tong sampah itu. Tadi, aku betul-betul hampir tertangkap!
Kemudian, telefon pengetua berbunyi. Suara di hujung talian memberitahunya bahawa ada seseorang yang cuba menceroboh masuk ke Blok 7. Pengetua segera mengarahkan agar tahap kawalan Blok itu diperketatkan. Dengan tergesa-gesa, pengetua meninggalkan Amiliya kerana urusan penting.
Setelah pintu ditutup, aku berdiri dan bertanya kepada Amiliya, “Kenapa kau tidak pernah bertanya kepada ayah kau tentang mengapa dia membina sekolah ini?”
Amiliya menatapku dan menjawab, “Sudah banyak kali aku bertanya, tetapi dia tidak pernah memberitahu aku.”
Tiba-tiba, Justin melompat keluar dari tingkap dengan penuh gaya. Melihatku yang masih berada di dalam tong sampah, dia tergelak. “Alamak, sampah jadianlah!”
“Tak guna kau!” balasku sambil keluar dari tong sampah, berasa sedikit malu.
Amiliya menegur, “Sudah-sudah, jangan bergaduh.”
Justin sambil tersenyum berkata, “Daripada kau menyorok di dalam tong sampah, lebih baik kau jadi pengutip sampah.”
Aku melihat jam yang menunjukkan pukul 1:34 petang. Kami semua bertukar pandangan dan ketawa kecil, meredakan suasana yang tegang.
Kami mendengar pengumuman yang berbunyi, “Acara memasak akan dimulakan sebentar lagi. Para peserta diminta bersedia!” Mendengar pengumuman itu, kami segera melangkah ke tingkap untuk melihat. Ruang tersebut dipenuhi oleh ramai orang yang hadir.
“Bagaimana kau boleh mengetahui mengenai ujikaji yang dilakukan pada sekolah Permata Mutiara?” Justin bertanya kepada Amiliya.
Amiliya membuka pintu dan menjawab, “Aku tahu dari seorang pelajar bernama Saiful.”
Kami bertiga berjalan menuju ke acara tersebut, di mana aku bertemu dengan rakan sekelasku. Justin pula pergi menemui Natsumi, dan mereka kelihatan berbual tentang sesuatu yang penting.
Acara memasak pun dimulakan. Juri yang bertugas menaiki pentas dan memberikan sedikit ucapan pembukaan. Selepas itu, mereka mencuba setiap masakan yang disediakan oleh para peserta. Keputusan pun diumumkan, dan Husnah mendapat tempat pertama dalam acara tersebut!
Husnah menerima hadiah dan mengambil mikrofon. Dengan penuh rasa terima kasih, dia berkata, “Terima kasih kepada semua yang hadir. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Hazrul yang telah menolong saya walaupun dia sedikit terlambat, dan juga kepada kak Natsumi kerana sudi menolong saya. Terima kasih semua!”
Setelah mendengar ucapan Husnah, semua orang memberikan tepukan yang gemuruh. Suasana menjadi meriah dengan sorakan dan tepukan dari hadirin.
Acara ini berlangsung dengan lama sehingga aku tidak sedar berapa lama masa telah berlalu. Aku memandang jam tanganku yang menunjukkan pukul 4:12 petang.
Tiba-tiba, aku terdengar rakan sekelasku berbisik, “Betul ke Hazrul yang menolong Husnah? Bukankah dia menyusahkan lagi?”
Mendengar perbualan mereka, aku membalas, “Apa yang dimaksudkan kau sebenarnya?”
“Yelah, kan? Kau selalu cuai!” jawab mereka dengan nada nakal.
Mendengar itu, aku hanya tersenyum, sedar bahawa dalam kekecohan dan kesibukan, kadangkala kita perlu belajar untuk tidak terlalu mengambil pusing dengan pandangan orang lain.
Aiman berlari ke arahku dengan wajah yang kelihatan panik. Aku menyapa, “Ooh, di sini kau rupanya!”
Aiman menjawab dengan tergesa-gesa, “Maaf, aku terpaksa tinggalkan kau dengan Husnah.” Aku tertanya-tanya dan bertanya, “Kenapa kau tinggalkan aku?”
“Maaf, aku terpaksa pergi ke tandas,” jawab Aiman sebelum berlari pergi tanpa membalas soalan ku yang lain.
Tak lama kemudian, Alia datang menghampiriku. Dia kelihatan sedikit bingung dan bertanya, “Macam mana Aiman boleh ada nombor telefon saya?”
Aku menjawab dengan jujur, “Saya tidak tahu. Maaf, saya terpaksa pergi sekarang.” Tanpa menunggu lebih lama, aku meninggalkan Alia dan berjalan menuju ke khemah.
Di sana, aku ternampak Natsumi sedang mengucapkan tahniah kepada Husnah yang baru sahaja berjaya menduduki tempat pertama. Suasana di khemah itu dipenuhi dengan kegembiraan dan ucapan selamat dari rakan-rakan lain. Aku tersenyum melihat mereka, menyedari betapa berertinya kejayaan itu bagi Husnah.
Lalu Justin memanggilku dari belakang. Kami berjalan di sekitar taman sambil berbincang. Dalam perjalanan, dia bertanya kepadaku, “Hazrul, adakah kau tahu mengenai musuh BlackAlpha?”
Aku membalas, “Tidak. Setakat ini yang hanya aku tahu adalah itu!” sambil menunjukkan ke arah tempat pembinaan.
Justin melihat tepat ke arah tempat pembinaan itu dan berkata, “Ya, Amiliya sudah menceritakan tentang tempat itu kepadaku dan juga tentang Anis.”
Aku melihat ke arah Justin dan bertanya, “Adakah kau mengenali Anis?”
“Tidak,” balasnya.
“Tapi aku rasa mungkin Anis adalah salah satu pelajar yang menjalani ujian DNA kerana itu dia sentiasa pucat apabila mendengar tentang BlackAlpha.” Kata-kata yang disampaikan Justin ada benarnya.
Kemudian, Justin berjalan ke arah tangga, meninggalkanku dan berkata, “Aku akan cuba mencari musuh yang dilawan BlackAlpha. Mungkin dari situ kita akan tahu kenapa Anis menjadi sangat trauma.” Dia berlalu pergi menuju ke arah asrama.
Sebelum aku kembali semula ke asrama, aku sempat singgah di perpustakaan untuk mencari Anis. Namun, ternyata dia masih tiada. “Apa yang berlaku kepadanya?” tanyaku sambil melayari pandangan ke arah rak-rak buku, hingga mataku tertumpu pada sebuah buku bertajuk Jelmaan.
Dengan rasa ingin tahu, aku mengambil buku tersebut dan membuka halaman-halamannya. Buku itu mengandungi perkara-perkara ghaib yang membuatkan jiwaku berdebar. Terdapat beberapa tulisan yang sukar dibaca dan juga beberapa kode rahsia yang mencuri perhatianku.
Setelah beberapa saat, aku meletakkan semula buku itu di tempat asalnya dan keluar dari perpustakaan, dengan pelbagai persoalan bermain di fikiranku tentang Anis dan misteri yang menyelubungi kehidupannya.
Dalam perjalanan menuju ke asrama, aku teringat semula kata-kata Anis, “Hati-hati di mana awak melangkah kerana mereka tahu dan sentiasa memerhatikan awak.” Mungkinkah ada kaitan dengan orang yang memerhatikan kami di taman tadi? Fikiran itu menghantui kepalaku.
Tiba-tiba, sekumpulan burung melintas di atasku, membentuk formasi yang cantik di langit yang berwarna merah keemasan. Pemandangan itu sungguh menakjubkan dan membuatkan aku terpegun.
Ketika aku asyik menikmati pemandangan, Haikal muncul dan mengambil gambarku. "Gambar yang sempurna," katanya, tersenyum lebar.
"Apa yang kau buat?" tanyaku kepadanya, masih teruja dengan kehadirannya.
Haikal membalas, "Aku kan seorang jurugambar, dah tentu aku tak melepaskan peluang untuk mengambil gambar yang cantik seperti tadi." Dia memandang kameranya dan meneruskan, "Alia tadi memang kalut, kan? Habis semua orang dia tanya. Macam mana Aiman boleh ada nombor dia?"
Aku mengangguk, lalu melihat ke arah langit dan berkata, "Sebenarnya, Aiman memang sukakan Alia sejak kecil lagi. Kami bertiga sudah kenal begitu lama."
Aku bertanya kepada Haikal sambil memandang wajahnya, "Apa yang menyebabkan kau menjadi seorang jurugambar?"
Dia menjawab sambil melihat gambar yang ditangkap tadi, "Tujuanku adalah kerana ayahku. Aku cuma menggantikan tempat ayahku sebagai seorang wartawan. Di dalam biliknya dipenuhi dengan gambar-gambar yang cantik. Ada satu gambar yang membuatkan dia popular sehingga ke hari ini, iaitu gambar sebuah markas yang meletup dan gambar beberapa makhluk yang tidak pernah dilihat manusia."
Aku teruja dan bertanya, "Makhluk apa dan di mana gambar itu?"
Haikal menjawab sambil menyimpan kameranya, "Gambar itu hilang selepas satu kebakaran." Dia kemudian berjalan menuju ke asrama.
Naluri aku tiba-tiba mengatakan ada seseorang yang sedang memerhatikanku dari celah pokok. Tanpa berfikir panjang, aku berpusing ke belakang, tetapi nampaknya tidak ada sesiapa pun di sana. Namun, rasa tidak sedap hati itu masih menghantui fikiranku.
Malam itu, aku cuba mencari maklumat mengenai makhluk yang disebut Haikal di internet, tetapi tiada sebarang hasil yang kutemui. Mungkin musuh BlackAlpha adalah makhluk itu. Fikiranku melayang, dan aku memandang keluar tingkap sambil berbaring di atas katil, merenung ke arah malam yang gelap.
Tiba-tiba, pintu bilikku dibuka. Rupanya Aiman yang masuk. "Kenapa kau melarikan diri tadi?" tanyaku.
Aiman menutup pintu dengan cermat dan berkata, "Aku melarikan diri dari Alia."
"Kenapa?" balasku, sambil bangun dari katil.
Aiman duduk di tepi katil dan menjelaskan, "Sebab Husnah. Aku tinggalkan kau dengan dia kerana dia yang merasuah aku. Kalau aku tinggalkan bilik ini, dia akan memberikan nombor Alia kepadaku."
Aku tercengang. "Ngek, kalau ya pun, tak payahlah pergi jauh dari aku! Lagipun, kenapa bukan kau yang menolongnya memasak?"
"Ya, sebab itulah aku lari," balas Aiman sambil berdiri dan pergi ke bilik air.
Aku kembali merenung ke arah langit. Dalam fikiranku, bayangan-bayangan kejadian buruk mula melayang: gambar makhluk yang menyerang markas, kematian ibu Amiliya, kemusnahan markas, dan figura misteri yang selalu muncul dalam bayang-bayang—siapa sebenarnya penjubah itu?
Banyak persoalan berlegar dalam fikiran. Apakah semua ini ada kaitan antara satu sama lain? Dalam suasana yang kelam ini, aku bertekad untuk mencari jawapan kepada setiap persoalan yang menghantui diriku.